BENDAHARI Agung, Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan Perikatan Nasional (PN) menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, pihaknya tidak terbabit dalam sebarang rundingan, sama ada dengan PN mahupun Pakatan Harapan (PH).
Malah beliau juga menegaskan bakal mengambil tindakan perundangan ke atas sebuah portal media tempatan yang menyiarkan dakwaan itu, jika agensi berita terbabit tidak menarik balik artikel berkenaan secara serta-merta.
“Ramai menyebarkan artikel ini, saya ingin mengesahkan dakwaan ini tidak benar sama sekali. Saya juga tidak pernah ditawarkan apa-apa jawatan,” katanya hari ini.
Terdahulu, portal media terbabit melaporkan PN didakwa menawarkan BN jawatan Perdana Menteri Ke-10 jika kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.
Berdasarkan laporan itu, Majlis Tertinggi BN akan berbincang sama ada menerima tawaran PN atau PH bagi membentuk kerajaan baharu.
Awal pagi ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN.
Mereka juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal diperkenankan oleh Tuanku.
-EDISI9