DATUK Seri Mohamad Hasan berkata, Barisan Nasional (BN) bersedia menjadi pembangkang dan mencadangkan agar Perikatan Nasional (PN) sert Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, ini kerana gabungan kerajaan PN dan PH itu lebih kukuh kerana mendapat bilangan undi yang lebih tinggi.
Menurut beliau, BN pula akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab melakukan semak dan imbang bagi kerajaan baharu.
“Saya cadangkan biarlah PN dan PH bergabung tubuh kerajaan sebab mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.
“BN bersedia menjadi pembangkang yg bertanggungjawab check and balance kerajaan baharu,” katanya hari ini.
Walau bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pihaknya bersedia untuk menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka semasa tempoh peralihan pasca-pilihan raya seperti sekarang.
“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat.
“Kami hanya menghormati keputusan itu. Semoga Malaysia sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT jua,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tidak ada mana-mana parti atau parti-parti gabungan yang berjaya mendapat majoriti mudah.
Ekoran itu, status Parlimen kini tergantung sehingga ada mana-mana parti atau parti gabungan yang membentuk koalisi bersama bagi menubuhkan kerajaan.
-EDISI9