25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Usaha bantu rakyat ditipu sindiket pekerjaan tumpuan Dewan Rakyat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HARI kedua persidangan Dewan Rakyat hari ini akan memberi tumpuan terhadap isu tindakan bagi membantu rakyat Malaysia yang ditipu dan diculik sindiket penipuan pekerjaan terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, soalan itu selain tindakan pencegahan yang diambil kementerian berkenaan dan Kedutaan Malaysia bagi membanteras kegiatan penipuan pekerjaan berkenaan diajukan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada Menteri Luar pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, lapor Bernama.

Turut tersenarai, soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta Menteri Kewangan sama ada satu krisis kewangan sedang terbentuk berikutan nilai Ringgit Malaysia menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kadar inflasi dan hutang kerajaan yang kian bertambah.

Pada sesi soal jawab pula, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) akan mengajukan soalan kepada Menteri Pengangkutan mengenai inisiatif dilaksanakan kementerian berkenaan bagi mengawal dan memantau harga tiket penerbangan domestik pada kebanyakan masa yang mahal dan tidak berpatutan.

Advertisements

Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan prestasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dalam menangani kenaikan kadar inflasi keseluruhan yang meningkat kepada 4.4 peratus dan inflasi makanan kepada 6.9 peratus pada Julai 2022 sepertimana laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) terbitan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM).

Dewan Rakyat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022; Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022; Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua.

Turut tersenarai adalah pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok (Pindaan) 2022 (Dalam pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas), selain Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2022 serta Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 32 hari dari 3 Oktober hingga 29 November. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan