AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menafikan dakwaan babawa Empangan Kenyir di Terengganu akan pecah berikutan bakal menerima taburan hujan lebat tahun ini sepertimana tular dalam media sosial.
Sebaliknya agensi itu mengesahkan video dan beberapa paparan berhubung dakwaan ktu sebenarnya berkaitan Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir yang diadakan pada 26 hingga 29 September lalu.
Nadma berkata, latih amal itu adalah program membabitkan agensi kerajaan bersama anggota komuniti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana berada pada tahap optimum.
Katanya, semua agensi termasuk anggota komuniti perlu peka terhadap semua risiko bencana bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi.
“Masyarakat perlu peka dan mengetahui pelan tindakan komuniti jika berlakunya bencana,” kata agensi itu menerusi satu kenyataan hari ini.
Nadma berkata, latih amal seperti itu bukan baharu malah pernah diadakan bagi Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highland dan beberapa empangan lain.
“Lain-lain latih amal yang pernah dianjur bagi memastikan kesiapsiagaan agensi dan masyarakat adalah Latih Amal Tsunami di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.
“Latih amal turut diadakan untuk memperkasa koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi bencana, selain meningkatkan kefahaman dan keupayaan setiap agensi kerajaan yang berkaitan terhadap kaedah serta strategi pengendalian bencana,” katanya.
Nadma berkata, selain meningkatkan kefahaman masyarakat, latih amal dapat menambah baik strategi pengendalian bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Dalam pada itu, Nadma berkata, selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menganjurkan pelbagai program latih amal.
Katanya, ia bertujuan meningkatkan keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan terhadap bencana.
Terdahulu, penduduk sekitar Empangan Kenyir, Terengganu dilapor bimbang susulan penyebaran berita kononnya empangan terbabit akan pecah disebabkan menerima taburan hujan lebat sehingga berisiko menyebabkan banjir besar.
Video berhubung dakwaan itu tular menerusi media sosial sejak semalam. – Edisi 9

