34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

‘Red Notice’ Jho Low: Polis siasat akaun twitter Borneoghost

Polis menafikan kenyataan tersebut dan ia adalah berita palsu daripada pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan mewujudkan kegusaran masyarakat.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kes seorang pemilik akaun Twitter yang disyaki menyebarkan hantaran fitnah mengenai status ‘Red Notice’ ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, hantaran pemilik akaun Twitter Borneoghost itu mendakwa Ketua Polis Negara menyatakan “Low Taek Jho telah dikeluarkan daripada Red Notice Interpol sebagai helah supaya individu tersebut kembali ke Malaysia”.

Menurutnya, polis menafikan kenyataan tersebut dan ia adalah berita palsu daripada pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan mewujudkan kegusaran masyarakat.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/ Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berhasrat menawarkan ganjaran kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan PDRM berpandangan kaedah melalui ‘red notice’ (orang dalam buruan dikehendaki untuk pendakwaan) dikeluarkan Polis Antarabangsa (INTERPOL) adalah lebih baik.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada polis sudah menghubungi dua wartawan iaitu Tom Wright dan Bradley Hope mengenai dakwaan mereka bahawa Jho Low dan keluarganya dilihat di China dan Hong Kong pada tahun 2018 dan 2019 serta mengapa kerajaan tidak menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low.

Menurut Hamzah, Kaedah Red notice adalah lebih baik kerana menggunakan elemen kerjasama dan maklumat perisikan yang lebih tepat.

“Kaedah ini memerlukan mana-mana 195 negara anggota yang mempunyai maklumat berkaitan Jho Low bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat terbabit kepada Malaysia bagi membolehkan tindakan ekstradisi dibuat.

Dalam pada itu, Noorsiah menasihatkan masyarakat agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebarkan berita yang tidak benar sehingga boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Sebelum ini, media melaporkan Jho Low didakwa masih bersembunyi di China dan perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Bradley Hope menerusi episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube, pada 31 Ogos lalu.

Menerusi episod itu, Hope bersama seorang penulis, Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai.

Hope berkata, gambar didakwa bertarikh 24 Disember 2019 itu diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.

Hope sebelum ini melancarkan kempen menjejak Jho Low dengan meminta orang ramai mengesan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Jho Low berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

-EDISI9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan