31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Peruntukan pekebun kecil dinaikkan kepada RM600 juta – PM

BMT bagi pekebun kecil juga akan ditambah sebanyak RM200 kepada RM800 jika kerajaan dikekalkan dalam PRU-15.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta kepada pekebun kecil tahun ini, lebih besar berbanding RM508 juta tahun lalu.

Menurut beliau, peruntukan besar itu membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin kepada pembangunan sektor komoditi getah yang diusahakan oleh pekebun kecil.

Beliau berkata, kerajaan turut meluluskan sejumlah RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA, sepertimana diumumkan di Tapah, Perak baru lalu.

“Kesemua pekebun kecil bakal menerima bantuan sebanyak RM600 yang disalurkan secara berperingkat iaitu RM300 pada bulan hadapan dan RM300 pada bulan Disember ini.

“Insya-Allah, pada tahun depan, jika kerajaan saya dipilih semula pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), BMT ini akan ditambah sebanyak RM200 kepada RM800 dengan peruntukan sebanyak RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil RISDA dan Felda seramai 320,000 orang,” katanya.

Di bawah Bajet 2023, pelbagai inisiatif disediakan bagi pekebun kecil di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Padang Awam Kampung Batu Papan di Bera, Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 24,237 pekebun kecil di negeri Pahang bakal menerima BMT pada bulan hadapan dan Disember dengan jumlah peruntukan sebanyak RM14.54 juta.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil
getah, kerajaan telah memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan sebanyak RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran hasil sebanyak 1,800kg setiap hektar setahun.

“Alhamdulillah, inisiatif tersebut telah dimanfaatkan oleh 29,205 pekebun kecil di seluruh negara termasuk 4,344 pekebun kecil di Pahang dan seramai 602 pekebun di Bera,” kata beliau.

Katanya, Risda juga telah berjaya melahirkan seramai 23,522 orang
usahawan bimbingan RISDA di seluruh negara melalui bantuan berjumlah RM56.3 juta.

Advertisements

Beliau berkata, tahun ini, sejumlah RM4.81 juta diperuntukkan bagi memperkasa Program Pembangunan Usahawan di negeri Pahang yang memberikan faedah kepada seramai 474 pekebun kecil RISDA dan 34 usahawan dari daerah Bera.

Sebelum ini, menerusi Bajet 2023, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion kepada sektor komoditi yang turut melibatkan RISDA sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi.

Ismail Sabri lagi, antara inisiatif yang akan dilaksanakan bagi memajukan sektor komoditi negara adalah peruntukan RM315 juta bagi Program PembangunanKawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil untuk menggantikan pokok getah tua untuk manfaat 387,000 pekebun kecil.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan RM40 juta.

“Bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama-sama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperkenalkan Skim Perlindungan Pertanian untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi.

Manakala bagi Orang Asli di Bera pula, Ismail Sabri berkata, Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli akan dilaksanakan merangkumi kerjakerja penanaman semula getah dan kelapa sawit.

“Insya-Allah, kesemua perkara tersebut akan dilaksanakan jika semua pekebun kecil di negara ini memberi mandat kepada Kerajaan saya pada PRU-15 akan datang,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan