27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Dua nelayan warga Indonesia tanpa pengenalan diri ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot pukat gombang bersama dua kru nelayan warga Indonesia di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Kuala Gula, Perak pada sekitar jam 5.30 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot mencurigakan lantas dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat dua kru termasuk tekong warga Indonesia berumur 35 dan 36 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot memiliki lesen yang sah namun tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran mengajikan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, kru, bot dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen.

Ujar beliau, Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

“Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 dengan segera,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan