36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tak pelik bukan PH diisytihar musuh PN – Zahid

Segala bicaranya mengenai kerjasama dengan BN sebelum ini cumalah hipokrasi yang nyata dan kian terserlah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pengisytiharan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama Perikatan Nasional (PN) bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Malah Ahmad Zahid manasihati Pengerusi PN itu agar tidak perlu beria-ia mengumumkan perkara tersebut.

“Pengumuman itu sekadar menunjukkan kekalutan beliau untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangkakan tidak lama lagi.

“Rakyat sudah lama tahu Bersatu yang dipimpinnya (Muhyiddin) sememangnya memusuhi BN dengan objektif menamatkan BN.

“Segala bicaranya mengenai kerjasama dengan BN sebelum ini cumalah hipokrasi yang nyata dan kian terserlah tatkala PRU-15 semakin menghampiri,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Tegas Ahmad Zahid, perlu difahami penubuhan Bersatu dengan ‘misi’ untuk bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH) adalah bagi melenyapkan BN khususnya UMNO.

“Selepas gagal, Bersatu mengubah taktikal mahu menguasai BN dalam usaha menyekat kebangkitan pemimpin UMNO yang pernah mereka zalimi.

“Juga dengan sasaran BN akan berada di bawah telunjuk Bersatu bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka melalui perancangan scheme of things,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

Menurut beliau, mujurlah sebahagian besar pimpinan BN dapat menghidu muslihat tersebut walaupun tidak dinafikan ada juga segelintir yang terpedaya.

“Sebab itu kita tidak berasa pelik bukan PH diumumkan musuh utama PN walaupun Muhyiddin pernah menyebut PH tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.

“Mungkin beliau masih berharap membawa PN bekerjasama dengan PH yang tidak selari dengan perjuangan Melayu, Islam serta rakyat Malaysia,” katanya.

Malah, dakwa Ahmad Zahid lagi, terdapat keberangkalian juga satu-satunya pihak yang sedang keliru dan celaru dengan pengumuman Muhyiddin adalah pimpinan tertinggi Pas.

“Maka dengan pengumuman Muhyiddin BN musuh utama PN seharusnya membuka mata dan minda yang pernah terpedaya untuk melihat kebenaran.

“Ahli-ahli Parlimen selain Bersatu khususnya BN yang berada dalam Kabinet perlu memahami realiti bahawa mereka sedang dikelilingi oleh musuh dalam selimut.

“Selagi mana mereka mempertahankan komposisi Kabinet sedia ada bersama Bersatu, selagi itu kerajaan campuran yang mereka ‘pikul’ terdedah kepada risiko sabotaj,” katanya.

Malah, Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah pun memulakan gerakan melampaui batas ‘menyerang’ Perdana Menteri.

“Tindakannya boleh memberi implikasi negatif kepada negara kerana Pengerusi MPN sendiri menggambarkan kerajaan yang dianggotainya sebagai lemah dan gagal.

“Dengan demikian para pelabur asing akan melihat Malaysia bukan sebuah destinasi yang stabil dan kukuh untuk mereka membuat pelaburan,” katanya.

Ini sekali gus, menurut beliau, menyulitkan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi Malaysia termasuk nilai mata wang yang kini berada paras menggusarkan.

“Lambat-laun pasaran saham akan turut merundum apabila pelabur asing menjual saham tempatan untuk melabur di tempat lain.

“Tidak pasti sama ada tindakannya itu satu lagi bentuk ugutan kepada Perdana Menteri atau sememangnya beliau sudah tidak mampu menyembunyikan muslihatnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengulangi saranan agar PRU-15 disegerakan.

“Untuk menangani risiko di depan mata maka kerajaan yang stabil perlu segera dibentuk dengan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang kukuh.

“Justeru, ayuh semua kita segerakan PRU-15 sebelum musim hujan, sebelum negara berdepan dengan lebih banyak kerosakan angkara kerakusan politik musuh rakyat,” katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin semasa berucap dalam majlis sambutan Ulang Tahun Keenam Bersatu di Putrajaya menegaskan bahawa BN adalah musuh utama mereka pada PRU-15 akan datang.

Katanya, perkara itu dipersetujui oleh semua parti komponen dalam PN.

“Apabila tiba masa PRU15 diadakan, maka PN didukung Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP, akan gerakkan semua jentera kita.

“Saya tak nak bincang soal Pakatan Harapan (PH), itu hal dialah. Umno nak tanding semua kerusi tandinglah.

“Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN,” katanya seperti dilapor media.

-EDISI9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan