28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Sukma arena bukti kejaguhan atlet, bawa cabaran negara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) menjadi arena membuktikan kejaguhan supaya atlet terbaik diangkat membawa cabaran negara ke pentas lebih tinggi.

Demikian harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap barisan atlet muda pada penganjuran edisi ke-20 Sukma 2022 ketika ini.

Ismail Sabri berkata, Alhamdulillah, selepas tertangguh selama empat tahun, temasya yang penting untuk pembangunan sukan negara
kembali diadakan.

“Ia akan menjadi medan persaingan yang hangat dalam kalangan atlet-atlet tempatan.

“Saya yakin bahawa kelahiran atlet yang cemerlang bermula dengan ahli keluarga yang memberikan sokongan kepada mereka.

“Kekuatan utama sukan ialah mencetuskan rasa kekitaan dan semangat sepasukan kukuh sebagai sebuah keluarga yang erat.

“Pada Sukan Malaysia kali ini, anda semua – atlet-atlet dan barisan para pegawai – hadir sebagai sebuah keluarga daripada pasukan dan negeri yang sama, memburu matlamat yang juga sama.

“Ini berterusan, apabila bintang-bintang yang bakal lahir daripada Sukan Malaysia kali ini, kemudiannya membawa Jalur Gemilang memburu gemilang di pentas antarabangsa, demi negara.

Advertisements

“Ketika itu, bintang-bintang ini adalah wakil kita semua, wakil Keluarga Malaysia,” katanya ketika merasmikan temasya Sukma 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebentar tadi.

Ismail Sabri berkata, bangkitlah warga sukan negara.

“Jadikan pentas temasya Sukan Malaysia kali ini sebagai arena membuktikan kejaguhan, supaya yang terbaik akan diangkat membawa cabaran negara, dengan pentas Sukan SEA di Kemboja, tahun hadapan, sebagai aturan langkah pertama mencetus kehebatan di peringkat tertinggi.

“Cerita kehebatan sebegitu mahu kita teruskan, kerana menanti tahun hadapan juga temasya Sukan Asia di Hangzhou sebagai platform persiapan terbaik untuk mengejar impian, emas sulung pada temasya Sukan Olimpik di Paris pada 2024 nanti.

“Jangan sesekali leka dan cepat berpuas hati. Semangat membara wajar kita teruskan kerana masih banyak halangan dan rintangan perlu diharungi untuk kita teruskan rentetan kegemilangan,” katanya.

Dalam masa sama, Ismail Sabri turut memberi jaminan kerajaan akan terus meningkatkan kerancakan arena sukan termasuk memberi sokongan padu terhadap Program Podium dengan peruntukan RM240 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukma 2022 yang akan berlangsung sehingga 24 September ini selepas Johor tidak dapat menganjurkannya pada 2020 disebabkan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Sebanyak 15 kontinjen negeri termasuk Brunei mengambil bahagian dalam 31 jenis sukan yang menawarkan 426 pingat emas secara keseluruhan. –Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan