32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Raih pingat sukan Para Asean, bukti MBPK berbakat – Radzi Jidin

KPM amat mengambil berat tentang pembangunan sukan dan bakat atlet murid, termasuk MBPK dalam semua kategori sukan termasuk olahraga.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEJAYAAN Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dalam meraih empat pingat emas dan satu perak menerusi acara renang pada Sukan Para ASEAN di Indonesia baru-baru ini membuktikan bakat dan potensi MBPK adalah setanding.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, atlet MBPK juga boleh bersaing di peringkat tertinggi sekiranya diberi peluang, dilatih serta diurus dengan teratur.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) amat mengambil berat tentang pembangunan sukan dan bakat atlet murid, termasuk MBPK dalam semua kategori sukan termasuk olahraga.

“Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas merupakan antara platform KPM dalam mencungkil serta menggilap potensi murid sehingga menjadi ikon sukan Para seperti Datuk Abdul Latif Romly dan saudara Muhamad Ziyad Zolkefli yang masing-masing telah mengharumkan nama negara melalui kejayaan cemerlang dalam acara yang disertai di persada sukan antarabangsa.

“Dalam membentuk murid secara holistik dan menjadi aset kepada negara, setiap daripada kita perlu memainkan peranan dalam memastikan kemenjadian murid tidak hanya terhad kepada akademik, tetapi dari segala aspek termasuk bidang sukan,” katanya dalam Facebook hari ini.

Beliau berkongsikan hantaran berkenaan sempena Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan Kali Ke-20 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ujar Radzi, pembentukan sahsiah diri melalui sukan mampu membina jati diri, disiplin serta murid yang memiliki badan yang sihat dan cergas.

“Tahniah dan syabas kepada 509 atlet daripada 16 kontinjen yang mewakili negeri masing-masing untuk bersaing dalam 130 acara dengan pelibatan MBPK di Sekolah Pendidikan Khas, Program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Inklusif sepanjang kejohanan selama lima hari yang bermula dari 11 September lalu.

“Syabas dan tahniah juga kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini dengan cemerlang,” kongsinya.

Dalam pada itu, beliau memberikan jaminan KPM akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menyediakan ruang serta peluang ke arah melahirkan modal insan yang seimbang dalam pelbagai aspek seperti jasmani, rohani, emosi dan intelektual.

“Ini juga dapat memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan murid melalui penganjuran pelbagai aktiviti dan program termasuk kejohanan sukan, seiring dengan aspirasi elemen penting kehidupan di dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, iaitu Seronok, Sihat, Etika, Jati Diri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun dan juga Teliti,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan