26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Projek berintegrasi Pulau Bunting ubah landskap ekonomi Yan

Menjadikan Yan seperti daerah Pengerang yang dahulunya hanya perkampungan nelayan tetapi kini menjadi kawasan perindustrian yang pesat membangun.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PROJEK Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting bernilai RM14.4 bilion di Yan, Kedah akan membantu mengubah landskap ekonomi daerah Yan yang ketika ini bergantung kepada sektor pertanian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan projek itu bakal menjadikan Yan seperti daerah Pengerang di Johor yang dahulunya hanya perkampungan nelayan tetapi kini menjadi kawasan perindustrian yang pesat membangun.

“Saya percaya Yan juga akan membangun dengan pesat menjadi kawasan perindustrian dalam waktu yang terdekat ini, bukan sahaja pembangunan yang dapat dinikmati, penduduk Yan terutama golongan muda juga bakal menikmati banyak peluang pekerjaan.

“Kerajaan Persekutuan komited menyokong pelaksanaan projek ini yang membabitkan tiga komponen utama bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab ekonomi baharu di wilayah utara,” katanya semasa merasmikan projek pembangunan tersebut, di Yan, Kedah.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Kumpulan MMC Corporation Bhd Tan Sri Tajudin Atan dan pengarah urusan kumpulan Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Projek tersebut yang akan dibangunkan oleh Kumpulan MMC dengan kerjasama SKS Corporation Sdn Bhd melibatkan tiga segmen iaitu Hab Kapal-ke-Kapal (STS) Yan, pembinaan Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) dan pembinaan Terminal Pengegasan Semula LNG.

Ismail Sabri berkata sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) beliau gembira dengan keputusan Kumpulan MMC yang mahu melabur di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang sekali gus akan mengubah landskap sosioekonomi penduduk setempat.

“Saya yakin pelaburan ini mampu melonjakkan nama Yan dan Negeri Kedah khususnya, sebagai hab industri petroleum terutama yang berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pembangunan projek itu juga penting bagi Kedah terutamanya di kawasan tengah negeri itu untuk menjadi sebagai destinasi pelaburan dan perindustrian bagi tempoh jangka masa panjang.

Dalam pada itu, katanya, pelancaran projek tersebut serta Kedah Rubber City (KRC) yang telah dilancarkan sebelum ini membabitkan nilai pelaburan kira-kira RM24.4 bilion menunjukkan bahawa Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pusat.

“Sememangnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara supaya tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara.

“Usaha ini menunjukkan setiap negeri mendapat layanan sama rata dan peluang ekonomi disebar luas ke seluruh negara terutamanya kawasan yang sebelum ini terlepas daripada arus kemajuan yang pesat,” katanya. – BERNAMA

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan