25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Polis kesan pemandu kereta langgar lari pegawai Imigresen

Kereta berwarna perak itu dikesan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS mengesan pemandu kereta jenis Proton Wira Aeroback yang disyaki terlibat dalam kejadian langgar lari yang mengakibatkan seorang pegawai Imigresen maut di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan di Sungai Petani, Kedah, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemandu kereta itu dipercayai melarikan diri sejurus kejadian dan belum tampil membuat laporan polis.

Menurutnya, kereta berwarna perak itu dikesan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.

“Kejadian sekitar jam 8.30 hingga 9.30 pagi itu berlaku ketika hujan lebat.

“Kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki KLE650-C datang dari arah selatan menghala ke utara dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira 1.5GL(A) Aeroback berwarna Perak nombor pendaftaran TAC 5688 di mana pemandunya telah melarikan diri dari tempat kejadian.

“Kita sedang meneliti dan menyemak nombor pendaftaran kereta untuk mengetahui sama ada pemiliknya sendiri atau individu lain yang
memandu semasa kejadian,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Zaidy meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pemandu dan kereta itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Nizam Samsudin, 46, yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Imigresen di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Sementara rakannya, Zaili Nizam Muhammad, 43, dan bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Imigresen di depot imigresen sama patah kaki dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan yang tidak diketahui melanggar bahagian belakang motosikal ditunggangi Muhammad Nizam di lorong kiri menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan. 

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan