DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil serius isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia di luar negara.
Perdana Menteri berkata, perkara itu telah dibincangan dalam mesyuarat Kabinet bulan lepas dan akan menyelesaikan isu tersebut dengan cara yang terbaik.
“Saya beri jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu ini dan tidak akan membiarkan rakyat kita tanpa pembelaan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Ismail Sabri mengulas rakaman Hishamuddin Hashim menerusi rakaman video TikTok agar kerajaan segera bertindak menyelamatkan rakyat Malaysia yang dikurung dan disiksa di negara-negara jiran.
Beliau mendakwa masih ramai rakyat Malaysia yang diletakkan di sebuah pusat transit di Kemboja dan Laos oleh sindiket sebelum dijual ke negara lain terutama Myanmar.
Perdana Menteri berkata, beliau telah menerima rakaman video mengenai aduan kes pemerdagangan manusia yang melibatkan rakyat Malaysia itu dan telah menyerahkan kepada Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri.
“Saya telah menghantar video ini kepada YB Menteri Luar Negeri dan Ketua Polis Negara untuk tindakan segera seterusnya,” katanya.
Pada Jun lalu, Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA memaklumkan pihaknya telah menerima sebanyak 74 aduan kes membabitkan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan di luar negara sejak Januari lalu.
Daripada jumlah tersebut, 23 individu berjaya diselamatkan dengan 11 individu berjaya kembali ke tanah air.
Dianggarkan lebih 1,000 rakyat Malaysia yang terpedaya dengan sindiket penipuan tersebut dan telah diseludup ke luar negara. – Edisi 9

