27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Elaun 2,267 pelajar tajaan Petronas dinaikkan serta-merta

Kenaikan elaun buku dan peralatan serta elaun induksi itu mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PETRONAS akan menaikkan dua kategori elaun untuk pelajar di bawah tajaan mereka melibatkan 2,267 orang berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah PESP 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

“Saya dengan sukacita ingin mengumumkan bahawa Petronas akan menaikkan dua kategori elaun pelajar di bawah tajaan mereka melibatkan 2,267 orang berkuat kuasa serta merta.

“Pertama, kenaikan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.

“Kedua, pelajar yang baru menerima penajaan PESP, elaun induksi (Onboarding Allowance) akan dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar.

“Tajaan ini diharap dapat mendorong anda mengorak melangkah lebih jauh untuk menggapai cita-cita dan pulang dengan kejayaan serta seterusnya menabur bakti
kepada industri dan negara yang tercinta. Selamat maju jaya untuk semua pelajar,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Petronas telah menjadi penyokong kuat kepada usaha Kerajaan memperkasa bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosio ekonomi negara.

Selain tajaan PESP, Petronas juga menurut beliau telah menyumbang lebih RM1 bilion bagi pelbagai program lain dalam bidang pendidikan negara, termasuk membina dua buah Maktab Rendah Sains MARA, bernilai lebih RM211 juta yang mampu menempatkan pelajar dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Selain itu, Petronas juga membina dua buah asrama harian luar bandar di kawasan pedalaman yang siap sepenuhnya pada tahun 2019 bagi menyediakan akses pendidikan lebih baik kepada pelajar-pelajar terbabit.

“Lebih 78,000 pelajar B40 di seluruh negara telah menerima manfaat di bawah PrograKembali Ke Sekolah, Yayasan Petronas.

“Selain meringankan beban ibu bapa dan penjaga dari segi menyediakan alatan persekolahan, program ini juga menyuntik semangat pelajar-pelajar terbabit untuk ke sekolah, seterusnya menyedarkan mereka tentang pentingnya pendidikan.

“Program ‘Discover PETRONAS@School’ pula
diperkenalkan bertujuan mendedahkan pelajar tentang perancangan masa hadapan dan peluang pekerjaan dalam industri tenaga, selain berpeluang mendapat tajaan PETRONAS dalam bidang pendidikan atau kemahiran.

“Dalam masa yang sama, guru-guru turut diberikan perhatian. Program Duta Guru PETRONAS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia membantu seramai 4,500 guru untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran, serta daya fikir seorang pendidik STEM yang berimpak tinggi menjelang tahun 2030.

“Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES) PETRONAS pula bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu, sama ada menceburkan diri dalam bidang pekerjaan atau berniaga sendiri setelah
selesai mengikuti program berkenaan.

Ujarnya, setakat ini, PETRONAS telah melatih lebih 4,000 graduan tempatan, yang mana 70 peratus daripadanya berjaya mendapat pekerjaan tetap dalam bidang yang diceburi mereka.

“Saya turut dimaklumkan Petronas turut menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Program (TVET) yang menjadi keutamaan negara bagi menyedikan bakat masa depan.

“Melalui Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA), seramai 11,450 belia di seluruh negara menerima pelbagai bantuan termasuk perkakasan, bantuan pembelajaran dan latihan serta khidmat nasihat,” katanya lagi.

Ismail Sabri berharap, tajaan seperti ini dapat mendorong pelajar untuk mengorak melangkah lebih jauh untuk menggapai cita-cita dan pulang dengan kejayaan serta seterusnya menabur bakti kepada industri dan negara yang tercinta.-Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan