32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

JPN, PPD tidak boleh minta data markah PBD murid dari guru

Platform yang sedang dibangunkan itu akan membolehkan data pelajar hanya dikongsikan antara guru dan KPM.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak boleh lagi meminta data pemarkahan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dari guru-guru, susulan pelaksanaan sistem perekodan data yang dijangka bermula hujung tahun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, sistem perekodan data itu, yang merupakan satu platform untuk guru-guru memasukkan markah PBD pelajar Tahun Empat, Lima, Enam dan Tingkatan Satu, Dua, Tiga, bakal meringankan tugas guru kerana tidak perlu memasukkan data yang sama berulang kali, dalam sistem yang berlainan.

“Antara cabaran utama yang kita terima apabila guru-guru sampaikan pada kita (ialah) apabila masukkan markah PBD, perlu masukkan mengikut templat yang disediakan di peringkat sekolah, kemudian PPD pula minta supaya dimasukkan dalam sistem mereka, selang sekejap, JPN pula minta supaya dimasukkan ke dalam sistem mereka juga.

“Cikgu jadi kecewa bila nak kena masukkan benda yang sama berkali-kali,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, platform yang sedang dibangunkan itu akan membolehkan data pelajar hanya dikongsikan antara guru dan Kementerian Pendidikan (KPM) sahaja, namun PPD dan JPN masih boleh mendapatkan data tertentu dengan kebenaran.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu kelak dapat menambah kecekapan sistem pendidikan serta membolehkan supaya tugasan guru itu dapat ditingkatkan efisiensinya.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, melalui data yang dimasukkan ke dalam platform khas itu, KPM boleh mengenal pasti sekiranya sesebuah sekolah itu memerlukan intervensi dari kementerian.

“Bila kita dapat data seluruh negara, kita boleh cerakinkan data ini mengikut negeri, PPD, kawasan dan sebagainya untuk kita lihat sekiranya perlu mendapat intervensi, katakanlah satu PPD ni, Bahasa Inggerisnya jauh ketinggalan dari yang lain, mungkin kerana tidak ramai guru Bahasa Inggeris di kawasan tersebut.

“Jadi kita boleh perincikan, cerakinkan mengikut keperluan kita.. melalui data tersebut membolehkan kita menyusun apakah intervensi yang bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, ditanya adakah KPM bercadang untuk mewujudkan satu silibus khusus berkaitan rasuah susulan cadangan beberapa pihak yang mahu perkara berkaitan rasuah dimasukkan dalam sistem pendidikan, Radzi berkata nilai-nilai moral telah diterapkan kepada pelajar melalui pelbagai mata pelajaran.

“Apa paling pentingnya kita lihat dalam konteks yang ingin kita laksanakan kita sedar bahawa integriti, etika ini merupakan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam sistem pendidikan kita,” katanya. – BERNAMA

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan