29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Zahid seru terus bersolidariti bersama Najib

Ketika PH memerintah 22 bulan beliau berjaya menangkis serangan terhadap UMNO di kala UMNO diperlekehkan dan cuba dikuburkan oleh musuh politik.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak untuk terus bersatu hati, bersolidariti bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO itu berkata, terlalu banyak jasa dan sumbangan Najib yang telah berikan untuk UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan BN yang tidak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara.

Menurutnya, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan, bekas Presiden UMNO itu berjaya menangkis serangan terhadap parti di kala UMNO diperlekehkan dan cuba dikuburkan oleh musuh politik.

“Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita. Melalui media sosial FB (Facebook) beliau (Najib) berjaya menjawap serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data dan fakta.

“Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor beliau berkampung dan berkempen membantu kemenangan UMNO/BN. Inilah Najib Razak yang kita hormati memperjuangkan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Zahid lagi, perlu diakui media sosial FB Najib sangat berpengaruh di negara ini.

“Beliau ialah Raja Media Sosial dan berjaya membantu memulihkan UMNO lebih cepat hingga mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh UMNO sebelum ini dilihat bukan sahaja mahu mendekati malah mahu menguasai UMNO pula sekarang.

“Insya-Allah kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian UMNO dan BN akan terus bersama Najib dan susah senang bersama.

“Kita bukan kacang lupakan kulit. Itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam UMNO,” tegasnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menegaskan beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya berhubung kes SRC International.

“Kita tahu Najib berdepan cabaran sukar dalam rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan semalam.

“…sebagai rakyat, ahli dan pemimpin parti keputusan tersebut tidak menghalang kami untuk terus bersama perjuangan beliau dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan,” katanya.

Menurutnya,  sememangnya keadilan itu suatu perjalanan yang panjang.

“Malah terdapat ungkapan bahawa there are three types of truth. Your truth, my truth and the truth. Truth Is God’s Word.

Semalam, permohonan peguam bela Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir bagi bekas pemimpin berkenaan ditolak.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan tersebut.

Hakim Tengku Maimun ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang dinafikan.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan