25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Umno saman Malaysiakini, Astro Awani masing-masing RM25 juta

UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa ke atas mana-mana pihak mahupun individu yang memfitnah parti berkenaan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

UMNO meneruskan hasratnya untuk menuntut saman berjumlah masing-masing RM25 juta kepada Malaysiakini dan Astro Awani.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan perkembangan terkini saman berkenaan.

“Ramai yang bertanyakan status saman terhadap Malaysiakini dan Astro Awani yang mengeluarkan berita fitnah terhadap UMNO.

“Untuk pengetahuan, Peguam yang mewakili UMNO sudahpun menghantar surat tuntutan saman pemula sebanyak RM25 juta kepada pihak Malaysiakini dan RM25 juta lagi terhadap Astro Awani,” katanya hari ini.

Ujar Asyraf Wajdi lagi, UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa ke atas mana-mana pihak mahupun individu yang memfitnah parti berkenaan.

“InsyaAllah, jika ada mana-mana lagi pihak termasuk individu yang memfitnah UMNO dengan apa juga bentuk laporan, komentar atau berita palsu, saya dan Pemuda UMNO tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa.

“Sudah tiba masanya untuk bertindak lebih agresif melalui saluran undang-undang dibuat kerana UMNO sudah lama bersikap ‘gentleman’, membiarkan sahaja fitnah berlegar sehingga mencetuskan persepsi negatif yang memudaratkan parti dan seluruh warga pendokongnya,” katanya.

Advertisements

Tindakan saman berkenaan dibuat susulan laporan kedua-dua media itu yang didakwa menyiarkan artikel mendatangkan fitnah serta berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap Umno.

26 Ogos lalu, Asyraf Wajdi  dilaporkan telah menghubungi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta berbincang dengan peguam UMNO untuk memulakan tindakan saman ke atas Malaysiakini dan Awani berikutan laporan berita fitnah ke atas parti.

Menurutnya, beliau berada dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO dari awal hingga akhir dan apa yang dilaporkan oleh kedua-dua portal berita tersebut disifatkan sebagai fitnah serta berniat jahat.

“Apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini kononnya mesyuarat memberi kata dua kepada Perdana Menteri sama ada untuk membubarkan Parlimen atau dipecat adalah fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap UMNO.

Beliau juga menasihatkan agar Malaysiakini dan Awani seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan