33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pelajar tajaan MARA diingat tidak terpengaruh fahaman songsang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PELAJAR tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melanjutkan pengajian di luar negara diingatkan agar tidak terpengaruh dengan fahaman songsang sehingga boleh mengganggu pengajian mereka.

Pesanan itu dinyatakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkata, ada sebahagian kecil pelajar didapati terpengaruh dengan ideologi kumpulan tertentu di luar negara hingga sanggup memburukkan negara.

“Saya nak ingatkan pelajar supaya jangan lupa asal-usul masing-masing, jangan terbawa-bawa dengan fahaman atau kumpulan anti-establishment (antikerajaan) yang kemudian memburukkan dan mengutuk negara sendiri.

“Kita minta kepada pelajar, ingat nasihat ini sebab kita bawa bendera negara, jangan sertai kumpulan tertentu yang mungkin kata mereka pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, perubahan iklim, masyarakat asal dan sebagainya, namun sebenarnya anti kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Prapelepasan Pelajar Tajaan MARA Ke Luar Negara, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Setakat ini jelas Mahdzir, tidak ada laporan diterima berkaitan pembabitan pelajar tajaan MARA di dalam gerakan fahaman songsang di luar negara.

“Perkara ini tidak berlaku dalam kalangan pelajar MARA, hanya segelintir sahaja tetapi bukan di bawah MARA, yang perlu jadi keutamaan ialah usaha untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang dan banggakan ibu bapa serta keluarga,” kata Mahdzir. – Edisi 9

Terkini

Isu kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh – Tunku Ismail

ISU kalimah Allah pada stoking yang dijual oleh rangkaian kedai serbaneka tidak boleh dipandang remeh, titah Pemangku Sultan Johor,...

Lagi Artikel Berkaitan