25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Jangan bagi ruang kepada pembangkang porak-peranda UMNO

Umno tetap hidup, malar segar dan terus diyakini rakyat walaupun usaha memperlekeh Umno tetap ada.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“JANGAN bagi ruang seinci pun kepada pembangkang dan sekutu mereka untuk memporakperandakan UMNO,” tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, UMNO bukanlah parti nyamuk yang baru ditubuhkan.

“Usia UMNO kini mencecah 76 tahun. Bermakna UMNO ada tradisi, sejarah dan kesinambungan dalam negara.

“Patah tumbuh hilang berganti. Sekali air bah sekali pantai berubah. UMNO sentiasa diuji zaman berzaman,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau.

Ahmad Zahid berkata, walaupun ramai yang keluar parti dan memilih menentang UMNO selepas itu namun UMNO tetap teguh meski badai politik bergelora.

“Apabila melihat sejarah dan tradisi UMNO secara meluas dan panjang banyak hikmah dan kebijaksanaan sejarah.

“Mereka yang memilih keluar parti dan menentang politik, hayat politik mereka sangat pendek.

“Mereka umpama percikan bunga api, namun hanya seketika sahaja. Mereka akhirnya menjadi ahli politik kecewa dan berdengus penuh emosi.

“Akhirnya UMNO tetap hidup, malar segar (evergreen) dan terus diyakini rakyat walaupun usaha memperlekeh UMNO tetap ada.

“Yang penting UMNO sentiasa bergerak ke depan, menyantuni rakyat dengan dasar realistik dan tidak menjanjikan bulan bintang seperti manifesto PH yang lalu,” katanya.

Jelas beliau, kekuatan UMNO terletak kepada ketulusan perjuangan akar umbi yang selama ini sentiasa teguh setia dan tidak berkhianat.

“Marilah kita sama-sama mempertingkat azam kita untuk bergerak ke depan bersama UMNO dan tidak goyang walaupun badai politik melanda.

“Inilah asam garam politik perlu diharungi. Yang penting rapatkan barisan, tingkatkan kesetiaan kepada keputusan parti dan jangan biarkan kita dimanipulasi oleh musuh politik kita.

“Kita tidak akan ikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan pilihan raya umum (PRU) ke-15 agar mereka dapat menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda, menambahkan serangan politik terhadap UMNO.

“Kita dalam arus politik perdana sangat faham akan gelagat mereka,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan