26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Sekatan eksport ayam ke Singapura hanya sementara – Menteri

Sekatan itu hanya bersifat langkah intervensi sementara berdasarkan situasi dalam negara ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBARANG keputusan baharu mengenai sekatan eksport ayam ke Singapura akan dibincangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebelum dibawa ke Kabinet untuk diputuskan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata, sekatan itu hanya bersifat langkah intervensi sementara berdasarkan situasi dalam negara ini.

Katanya, apabila keputusan itu dilakukan, ia adalah keputusan daripada Kabinet dan bersandarkan kepada langkah sementara saja.

“Buat masa ini kita sedang memerhatikan kedudukan bekalan dan harga ayam semasa.

“Tentu sekali kita akan meneliti semula kepada keputusan itu sama ada langkah sementara itu perlu diubah atau sebaliknya,” katanya selepas Program Media Tour MAHA 2022, di sini, hari ini seperti dilaporkan BH Online.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Semalam, dilaporkan sebuah syarikat pertanian makanan Indonesia merancang menubuhkan tiga ladang baharu di Bintan tahun ini, untuk meningkatkan bekalan ayam hidup ke Singapura.

Pada Jun lalu, media melaporkan pihak berkuasa Indonesia berharap dapat mencapai persetujuan dengan Singapura bagi mengeksport ayam ketika republik itu terdesak mencari bekalan alternatif selepas Malaysia mengehadkan eksport ayam.

Susulan masalah bekalan akibat isu kekurangan makanan dan masalah rantaian bekalan yang mengancam seluruh dunia, Malaysia mengehadkan eksport ayam mulai Jun lalu sehingga keluaran tempatan dan kos operasi bertambah stabil.

Tindakan itu memberi kesan besar kepada Singapura terutama bagi restoran dan gerai menghidangkan nasi ayam, yang menjadi makanan pilihan utama dan dianggap hidangan nasional di republik itu.

Sementara itu, mengulas perkembangan MAHA 2022, Ronald berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan terakhir dilakukan penganjur dan pempamer.

“Sebanyak 1,500 reruai akan memeriahkan MAHA 2022 dan berharap kedatangan pengunjung akan melebihi daripada MAHA sebelum ini.

“Ini penganjuran hebat selepas empat tahun MAHA tidak dianjurkan dan pastinya semua pengunjung tidak sabar menanti apa yang akan ditawarkan semua pempamer,” katanya.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan