30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

ROS lulus pindaan perlembagaan UMNO, pemilihan selepas PRU

Mesti Baca

JABATAN Pendaftaran Negara (ROS) telah meluluskan pindaan perlembagaan UMNO, sekali gus membenarkan parti itu mengadakan pemilihan di semua peringkat tidak lebih daripada enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas beliau menerima surat daripada Pendaftara ROS hari ini berhubung kelulusan tersebut.

Beliau berkata, ini bermakna pemilihan UMNO bagi penggal ini akan dilangsungkan tidak lebih daripada enam bulan selepas PRU-15 diadakan.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat daripada Pendaftar, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM/ROS) pada petang Jumaat 29 Julai 2022.

Sukacita dimaklumkan bahawa ROS telah meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan Perlembagaan UMNO. Kelulusan ROS itu berkuat kuasa pada tarikh 29 Julai 2022.

ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada 6 bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).

ROS juga meminta agar satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).

Ini bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada 6 bulan selepas PRU-15 diadakan.

Bagi pihak UMNO, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada ROS dan semua pihak yang terlibat dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO.

Pemilihan jawatan dalam parti itu yang dibuat pada 2018 sepatutnya berakhir pada 30 Jun 2021 tetapi ditangguhkan selama 18 bulan berikutan pandemik COVID-19.

Parti itu kemudian memohon penangguhan pemilihan sekali lagi sehingga 29 Disember 2022.

Namun pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini, parti itu meluluskan usul pindaan perlembagaan yang antara lain menetapkan pemilihan hanya dibuat enam bulan selepas PRU. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan