29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Polis Johor tangkap 11 ahli sindiket Along dalam tempoh 2 hari

Menerusi tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes khianat dengan api dan simbah cat di negeri ini serta tiga kes lagi di Seremban, Negeri Sembilan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS berjaya menangkap seramai 11 individu dipercayai ahli sindiket along dalam serbuan di sekitar Pelangi Indah dan Iskandar Puteri, Johor pada Khamis dan Jumaat lalu.

Kesemuanya dipercayai melakukan khianat menggunakan api dan menyimbah cat terhadap rumah mangsa yang gagal membayar pinjaman.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, 10 warga tempatan iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita serta seorang lelaki Indonesia berusia antara 19 hingga 46 tahun, dipercayai ahli dua sindiket berbeza, ditahan hasil risikan serta maklumat awam.

“Hasil siasatan mendapati ahli sindiket menerima upah RM450 hingga RM800 dan ada antaranya turut didapati meminjam wang serta bekerja dengan sindiket itu bagi melunaskan hutang mereka.

“Kita dapati ada (individu yang meminjam wang) terjebak (sindiket along) menjadi penyimbah cat dan khianat dengan api kerana tidak mampu membayar serta tidak ada kerja selepas membuat pinjaman along untuk menjelaskan hutang dengan jumlah hutang akan ditolak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ujar Kamarul Zaman lagi, menerusi tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes khianat dengan api dan simbah cat di negeri ini serta tiga kes lagi di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurutnya, dua sindiket itu masing-masing menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura sebagai mangsa dengan mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook.

“Sindiket itu memberikan pinjaman tanpa persetujuan mangsa dan memaksa mereka membuat bayaran dengan kadar faedah tinggi serta membuat ugutan dengan menyimbah cat atau menggunakan api.

“Semua 11 individu itu direman seminggu bermula semalam mengikut Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan