33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditangguh lagi

Pada 23 Ogos tahun lalu, Azalina melepaskan jawatan itu, namun masih menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara, sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

USUL pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini, sekali lagi ditangguhkan.

Usul penangguhan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor satu dalam Aturan Urusan Mesyuarat, ditangguh ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dan dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti perkara nombor satu yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini, di mesyuarat ketiga akan datang,” katanya.

Usul itu kemudian disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin seterusnya dipersetujui secara sebulat suara oleh Ahli Dewan.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Azalina melepaskan jawatan itu, namun masih menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara, sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

Dalam satu kenyataan, Azalina berkata, keputusan mengosongkan jawatan itu bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang mendapatkan lebih banyak ruang untuk membetulkan semula Dewan Rakyat agar ia benar-benar dapat berfungsi sebagai forum persaingan profesional dan kolaborasi mengenai dasar dan pentadbiran.

Usul menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dibawa kali pertama oleh Wan Junaidi pada 14 Sept tahun lepas dan pada 25 Okt lalu, diikuti dengan usul oleh Mas Ermieyati pada persidangan 1 Mac lalu.

Wan Junaidi berkata usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguh bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan