SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan UMNO tidak akan berpecah disebabkan isu bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Malah menurut beliau, tiada krisis berlaku dalam parti itu seperti yang dihebohkan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berperanan menjaga kerajaan manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menjaga parti.
“Presiden #UMNO ulangi dlm (dalam) Mesyuarat MKT pd (pada) 24/6/22 bahawa calon PM / “poster boy” utk (untuk) #PRU15 adalah DSIS @IsmailSabri60.
“Tiada krisis spt (seperti) yg (yang) dihebohkan. PM jaga kjaan (kerajaan) & DS @DrZahidHamidi jaga parti. UMNO tidak akan berpecah sbb (sebab) isu DS Tajuddin. Biarlah beliau tumpu sbg (sebagai) Duta Besar,” tulisnya dalam hantaran di Twitter hari ini.
Dalam hantaran berlainan, beliau menyatakan UMNO sebuah parti yang sudah melalui pelbagai isu dalaman.
“Namun kerana kematangan ahlinya, parti UMNO tetap berdiri teguh. Parti ini akan terus padu dalam menghadapi cabaran.
“Fokus kini adalah menyelesaikan masalah rakyat tentang kos hidup dan harga barang yang meningkat,” katanya.
Beliau berkongsi pendapatan berkenaan dengan merujuk laporan tindakan Tajuddin yang membuat pelbagai dakwaan terhadap Presiden UMNO kelmarin, yang disifatkan pemimpin UMNO hanya mengundang kemelut dalam parti.
Tajuddin dalam pendedahannya kelmarin mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang digugurkan jawatan itu Selasa lalu menerusi satu surat mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.
Tajuddin turut mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi mendatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
-EDISI9

