27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Suami isteri maut dipercayai dirempuh pemandu mabuk

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEPASANG suami isteri maut apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol di Jalan Serkam Pantai, Jasin, Melaka, pagi tadi.

Ezuddin Mohammad, 50, bersama isteri, Surayah Muhamat, 48, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah dalam kemalangan jam 7.45 pagi membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar, berkata nahas itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal berusia 57 tahun dan pemandu kereta berumur 24 tahun mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, insiden berlaku ketika pasangan suami isteri terbabit yang menunggang motosikal Yamaha Ego dan penunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Merlimau, manakala Perodua Myvi pula dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu Perodua Myvi yang disyaki memandu bawah pengaruh alkohol, dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, kedua-dua motosikal yang datang dari arah hadapan tidak sempat mengelak atau membrek lalu bertembung kereta berkenaan.

“Perlanggaran itu menyebabkan pasangan suami isteri terbabit parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Seorang lelaki berusia 57 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda pula mengalami kecederaan ringan pada badan, manakala pemandu Perodua Myvi yang juga operator kilang pula cedera ringan di bahagian muka,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu turut menyebabkan motosikal Yamaha Lagenda berkenaan terbakar, malah sebuah lagi motosikal yang diletak di bahu jalan juga dirempuh Perodua Myvi berkenaan.

Menurutnya, mayat pasangan suami isteri itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Jasin, untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan