25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Warisan heret ADUN Kukusan ke mahkamah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PARTI Warisan (Warisan) akan mengheret Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal ke mahkamah susulan tindakannya keluar daripada parti itu.

Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, Rina telah melafazkan sumpah taat setia kepada Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Menurutnya, justeru parti akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Rina sama seperti tindakan kepada beberapa bekas wakil rakyat Warisan yang keluar dan menyertai parti pemerintah baru-baru ini.

“Kesemua mereka ini sudah terikat dengan peraturan parti ketika melafazkan sumpah taat setia semasa menjadi calon Warisan pada PRN lalu.

“Dalam watikah pelantikan tersebut semua mereka bersetuju untuk menghormati serta akur untuk meletakkan jawatan sekiranya beralih sokongan sekali gus melompat parti selepas PRN lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ADUN Sulabayan itu turut meminta Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) menghentikan kegiatan ‘menawarkan imbuhan’ kepada wakil rakyat.

Advertisements

Menurut beliau, GRS-BN perlu fokus bagi meningkatkan prasarana pembangunan rakyat selepas diberikan mandat dalam PRN lalu.

Jaujan mendakwa kegiatan itu seolah-olah membelakangkan proses demokrasi sekali gus menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini.

Katanya, tindakan memberi tekanan kepada wakil rakyat terutama pembangkang dengan menawarkan imbuhan bagi terus mengekalkan kuasa adalah perkara sangat menjijikkan.

“Kegiatan ini seolah-olah trend untuk mengekalkan kuasa. Sasaran mereka adalah kepada wakil rakyat yang mengalami masalah kewangan sehingga lupa kepada tanggungjawab utama ketika mandat diberikan rakyat dalam PRN lalu.

“Tindakan ini umpama ‘harga ayam naik tapi, harga diri wakil rakyat turun’. Mereka langsung tidak menghormati mandat rakyat melalui sistem pilihan raya di negara ini,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan