27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PM tegaskan pentingnya kerjasama untuk capai SDG global

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan betapa pentingnya kerjasama antarabangsa dalam mencapai pembangunan mampan global (SDG).

Bercakap dalam Dialog Peringkat Tertinggi Mengenai Pembangunan Global malam ini, Perdana Menteri berkata, kerjasama itu juga bagi memastikan tiada negara yang tertinggal.

Untuk itu, beliau mengemukakan tiga cadangan khusus yang menyentuh mengenai pengukuhan arkitektur pembangunan antarabangsa, pengukuhan sistem pelbagai hala serta merealisasikan komitmen bagi menangani krisis alam sekitar dan iklim.

“Penyertaan Perdana Menteri dalam Dialog Peringkat Tinggi Mengenai Pembangunan Global ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan, dan menggalakkan kerjasama antarabangsa yang berkesan bagi membantu negara membangun lain dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan,” kata kenyataan Kementerian Luar di Putrajaya hari ini.

Turut sama menyertai dialog tersebut ialah para pemimpin negara dari Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta 12 ketua negara dan kerajaan lain.

Ismail Sabri Yaakob bersama Mustapa Mohamed (kiri) dan Kamarudin Jaffar.

Ismail Sabri diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik China, Datuk Seri Tiong King Sing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Dialog bertemakan Memupuk Perkongsian Pembangunan Global Untuk Era Baharu dalam Melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan Secara Bersama diadakan di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS Ke-14 yang dipengerusikan oleh Presiden China, Xi Jiang.

Para pemimpin terbabit membincangkan kepentingan perpaduan di peringkat antarabangsa dan kerjasama yang berkesan dalam mencapai SDG termasuk menggalakkan pemulihan global, pembaharuan tadbir urus global dan perkongsian pembangunan global yang inklusif.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi bagi mencapai Agenda Pembangunan Mampan, yang telah termaktub di dalam pelbagai dasar kerajaan termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau turut menekankan usaha Malaysia untuk melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan di peringkat tempatan melalui antara lain, penubuhan Kumpulan Rentas Parlimen Malaysia Mengenai Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan Yayasan MySDG.

Di samping, Malaysia juga menggalakkan lebih banyak pelaburan berasaskan pembangunan mampan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau dan penciptaan pasaran baru. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan