34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pemimpin negara, rakan kongsi duka, kisah baik Adibah

Kita kehilangan seorang ikon yang disayangi ramai.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEMERGIAN penyanyi dan juga pelakon serba boleh, Adibah Noor yang meninggal dunia akibat kanser ovari menjentik rasa duka banyak pihak terutamanya ahli keluarga, rakan terdekat bahkan pemimpin negara termasuk dalam kalangan mantan Perdana Menteri.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi rasa sedih atas kematian selebriti berusia 51 tahun itu yang dianggap memiliki bakat besar sebagai seorang penghibur.

“Penggiat seni tanah air, Adibah Noor Mohamed Omar telah pergi mengadap Ilahi malam tadi (semalam).

“Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Adibah Noor.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga selebriti serba boleh, Allahyarham Adibah Noor yang kembali ke rahmatullah.

“Semasa hayatnya Allahyarham adalah seorang artis berbakat besar dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan serta menjadi idola ramai. Pemergian Adibah Noor adalah satu kehilangan besar kepada dunia seni negara,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Malaysia Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak ketinggalan berkongsi rasa duka atas pemergian Adibah Noor yang dianggap sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Turut berkongsi rasa kehilangan ialah bekas Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menyifatkan Adibah sebagai ikon yang disenangi ramai.

“Dunia hiburan dikejutkan dengan berita sedih tentang kehilangan Adibah Noor yang telah meninggal dunia.

“Kita kehilangan seorang ikon yang disayangi ramai. Takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan ini,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook.

Bagi kenalan terdekat pula, mereka tidak putus-putus berkongsikan kisah baik serta boleh menjadi tauladan mengenai Adibah.

Penulis lirik lagu Adibah, Bahasa Rindu, Opie Sofea pula menganggap Allahyarham sebagai seorang yang sangat dermawan dan bertimbang rasa.

Menurutnya, Adibah menjadi penyelamat kepadanya apabila mencukupkan tabungannya mahu ke tanah Suci menunaikan umrah lebih 13 tahun lalu dengan memasukkan duit ke akaun banknya.

“Beliau masukkan duit katanya sebagai bayaran untuk tulis lirik lagu Bahasa Rindu. Dan duit itu saya gunakan untuk menunaikan umrah,” katanya seperti dilaporkan media.

Bekas peserta Gegar Vaganza 2021 itu disahkan meninggal dunia di Hospital Gleneagles pukul 7.40 malam selepas bertarung sekian lama dengan penyakit yang disembunyikannya daripada pengetahuan umum, kanser ovari, tahap empat.

Khabar berkenaan dikongsikan oleh isteri Datuk AC Mizal, Datin Emylia sebelum pelaku seni yang sangat akrab dalam perjuangan karier mereka, Afdlin Shauki mengesahkan khabar duka itu kepada rakan media.

-EDISI9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan