27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan – PM

Mesti Baca

MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, pasukan khas tersebut berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

“Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

“Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.

Advertisements

Beliau berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu akan dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia dan dianggotai oleh empat menteri lain.

Mereka ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut menganggotai pasukan khas tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Ismail Sabri berkata, pegawai khusus di setiap kementerian juga akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) bagi memberi maklum balas segera kepada pasukan khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan