25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Malaysia negara pertama dapat permit operasi hospital haji

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA berjaya memperoleh pengiktirafan dan menjadi negara pertama mendapat permit untuk hospital beroperasi bagi musim haji 1443H/2022.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, berbanding negara lain, kecekapan Malaysia sentiasa diperakui Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan mereka sedia maklum bahawa petugas Lembaga Tabung Haji (TH) akan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan.

“Satu majlis serahan permit yang dikeluarkan ini telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada minggu lalu, dan ia dihadiri wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini menunjukkan komitmen dan susun atur kerja yang cekap daripada KKM serta petugas perubatan TH.

“Ini juga menunjukkan bahawa TH dan KKM menitikberatkan persiapan menjaga kesihatan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia, di Mekah.

Syed Saleh berkata, kejayaan itu juga adalah bukti pasukan perubatan TH sentiasa menjalankan kerja secara tersusun dan komited dalam memberi perkhidmatan terbaik.

Advertisements

“Pencapaian yang agak membanggakan kerana kita yang pertama (mendapat permit). Ia membuktikan pasukan perubatan kita membuat kerja tersusun dan komited sehingga memenuhi syarat, termasuk bangunan, peralatan, sistem pembuangan sisa-sisa dan jumlah kakitangan.

“Itu syarat-syarat yang dikenakan Arab Saudi, dan ini menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia bahawa apabila membuat sesuatu, semuanya akan mengikut peraturan dan terbaik dengan gerak kerja sistematik,” katanya.

Selain itu, Syed Saleh turut menasihati jemaah agar tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan, apatah lagi menjelang Hari Wukuf, tidak lama lagi.

“Cuaca yang terlampau panas dan kering hingga mencecah suhu 50 darjah Celsius, memudahkan jemaah haji dijangkiti penyakit.

“Saya mahu menasihati jemaah supaya sentiasa memakai pelitup muka, terutama di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Jemaah haji juga perlu teliti barangan makanan yang dibeli… pastikan bersih dan basuh dulu buah-buahan sebelum makan.

“Dalam keadaan yang panas ini, kita harus menjaga diri supaya tidak terdedah kepada cuaca terlalu panas dan sentiasa meminum air secukupnya untuk mengelak pelbagai penyakit, termasuk strok haba,” katanya. – Bernama

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan