27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Jason Lo bebas tuduhan masukkan dadah dalam badan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad manakala Jason Lo diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur, hari ini, melepas dan membebaskan penyanyi Jason Lo daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya, tiga tahun lalu.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaskan Jason Lo atau nama sebenar, Jason Jonathan Lo, 47, yang juga ahli perniagaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Hari ini ditetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan dan kamu (Jason Lo) dipertuduhkan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mahkamah telah meneliti saksi-saksi pendakwaan serta eksibit yang telah dikemukakan berdasarkan satu penelitian maksimum serta hujahan kedua-dua pihak.

“Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan (RM2,500) kamu dilepaskan. Alasan penghakiman akan disediakan pada atau sebelum 30 Jun ini,” kata Mohamad Fared seperti dilaporkan Bernama.

Selepas prosiding itu selesai, Jason Lo, bersut hitam dilihat memeluk seorang rakannya yang berada di galeri awam.

Advertisements

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad manakala Jason Lo diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

Pada 13 Mei, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula pada 6 April 2021 dan antara saksi yang dipanggil ialah pegawai kimia, pegawai penyiasat dan pegawai yang menjalankan saringan ujian air kencing.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers , Brickfields pada 5.15 petang, 15 November 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Jason Lo ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata dia bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada barisan peguamnya di atas kerja keras mereka.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan