26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Elaun warden asrama sekolah dinaikkan 25 peratus – Radzi

Pada masa yang sama Radzi turut mengumumkan penambahan sebanyak 3,813 orang warden yang baharu.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan kenaikan kadar elaun bagi ketua warden dan warden asrama sekolah-sekolah di bawah kementerian itu sebanyak 25 peratus.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, dengan kenaikan itu bermakna ketua warden akan menerima elaun sebanyak RM350 sebulan manakala warden pula mendapat RM300 sebulan.

Beliau berkata, kali terakhir elaun warden asrama disemak adalah pada tahun 1977.

Pada masa yang sama Radzi turut mengumumkan penambahan sebanyak 3,813 orang warden yang baharu.

“Penambahan itu merupakan peningkatan sebanyak 63 peratus daripada 6,055 orang warden sebelum ini kepada 9,868 orang warden.

“Kedua-dua penambahbaikan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM19juta. Ini merupakan implikasi kewangan tambahan dalam konteks penambahbaikan yang akan dilaksanakan  pada 1 Ogos ini.

“KPM sentiasa komited untuk melaksanakan penambahbaikan portfolio warden asrama di 1,874 sekolah berasrama bawahnya,” katanya menerusi rakaman video dalam Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, dengan penambahan jumlah warden asrama tersebut membolehkan penggiliran jadual bertugas warden dapat dilaksanakan di semua sekolah berasrama di bawah KPM.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak KPM untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan di atas kelulusan yang diberikan bagi cadangan KPM untuk kedua-dua penambahbaikan ini.

“Pada masa yang sama, KPM akan terus berusaha menambahbaik portfolio buat warden asrama di bawah sekolah berasrama KPM,” katanya.

Sebelum ini KPM menerima maklum balas awam yang menggesa kementerian itu mengkaji semula elaun guru warden asrama yang didakwa terlalu rendah iaitu RM240 sebulan.

Jumlah itu, katanya, tidak setimpal dengan bebanan tugas mereka sehingga 24 jam sehari.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan