28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

3 beranak ditemui lemas saling berpelukan dalam kereta

Kereta mereka naiki dipercayai terbabas sebelum terjunam ke sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIGA beranak yang menaiki sebuah kereta dipercayai terbabas sebelum terjunam ke sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, Kedah petang semalam ditemukan lemas awal pagi tadi.

Difahamkan, mayat Masyitoh Ibrahim, 37, yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selarong, bersama dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dijumpai kira-kira jam 3.30 pagi di bahagian belakang kereta terbabit yang tenggelam di dasar sungai berkenaan.

Kereta jenis Proton Persona itu ditarik keluar dari dasar sungai pada kedalaman hampir lima meter, dengan bantuan kren sebelum mayat ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan seakan-akan saling berpelukan.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron, terdahulu pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya serta Baling melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan pada jam 6.42 petang berhubung insiden itu.

Menurutnya, pasukan kemudian berjaya mengesan kedudukan kereta terbabit di dasar sungai itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Anggota melakukan penandaan di tempat yang dikenal pasti sebelum anggota penyelam daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman, mengesahkan kenderaan itu berada di lokasi.

“Susulan itu, proses menaikkan kenderaan terbabit dilakukan mulai jam 11.30 malam hingga 3.30 pagi tadi. Kereta itu kemudian berjaya dibawa naik ke atas jambatan.

“Tiga beranak terbabit ditemukan tidak tersepit di bahagian belakang kereta itu. Mayat kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita awal pagi tadi.

Syufaat berkata, mayat Mashitoh berjaya dikeluarkan pada jam 3.32 pagi diikuti kedua-dua anaknya selang dua minit kemudian, dalam operasi yang turut dibantu penduduk kampung, polis, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menurutnya, pada mulanya pasukan menghadapi cabaran di mana anggota telah mengikat rantai besi pada mata kren tetapi ia tercabut akibat arus deras.

“Cubaan kedua dilakukan dengan melilit rantai besi itu pada tayar kereta dengan lebih ketat sebelum kenderaan itu berjaya dinaikkan.

“Ketika ditemukan, semua mangsa dalam kereta berkenaan nampak seakan-akan saling berpelukan, dipercayai apabila kenderaan itu terhempas ke sungai,” katanya.

Difahamkan, mayat tiga beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan