25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, August 19, 2022

1MDB hanya mahu berurusan dengan PM – Saksi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bahawa 1MDB hanya berurusan dengan Perdana Menteri (PM) berhubung operasi dan hal ehwal syarikat.

Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa selaku Setiausaha di Bahagian MKD ketika itu, berkata perkara berkenaan dimaklumkan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepada MKD ketika proses perbincangan dan penukaran saham Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada MKD pada 2009.

Ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah, Siti Zauyah berkata, ketika itu pihak pengurusan 1MDB tidak memberikan kerjasama dan enggan berbincang mengenai perkara berkaitan Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat 1MDB yang tidak sama dengan syarikat di bawah MKD lain serta terdapat pindaan dibuat tanpa kebenaran.

“Mereka (1MDB) ada PM di belakang, sebab itu mereka beritahu hanya berurusan dengan PM,” katanya, lapor BH Online.

Saksi itu berkata, beliau kemudian membangkitkan perkara terbabit kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, namun Ahmad Husni memberitahunya bahawa beliau (Ahmad Husni) tidak mahu terbabit dengan isu berkenaan.

Baca juga:   Pemuda UMNO mahu SPRM segera diletak di bawah Parlimen

Katanya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah juga memberitahunya supaya tidak berbuat apa-apa mengenainya.

Ahmad Husni dalam keterangan sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau diminta oleh Datuk Seri Najib Razak supaya tidak campur tangan mengenai perancangan pelaburan 1MDB dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd.

Baca juga:   8 pemandu mabuk dipenjara, denda di bawah akta baharu

Beliau turut memberitahu mahkamah mengenai kebimbangannya dengan keadaan negara dan Najib berikutan penubuhan 1MDB, sehingga membuatkannya menghantar surat peribadi kepada Ahli Parlimen Pekan itu pada Ogos 2010.

Siti Zauyah dalam keterangannya sebelum ini berkata, klausa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat 1MDB yang menyatakan lantikan dan penyingkiran mana-mana pengarah syarikat itu tidak akan berkuat kuasa tanpa mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri, tidak dirujuk kepada MKD ketika proses perbincangan dan penukaran saham TIA kepada pihaknya.

Klausa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB juga menetapkan sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan) dan penstrukturan semula yang berkemungkinan menjejaskan jaminan oleh kerajaan bagi faedah syarikat dan kepentingan serta keselamatan negara, memerlukan kelulusan bertulis perdana menteri.

Siti Zauyah berkata, pihaknya juga tidak tahu bagaimana Klausa 117 itu dimasukkan kerana ia disediakan lebih awal oleh setiausaha syarikat 1MDB sebelum dipindah milik kepada MKD.

Baca juga:   Zuraida sertai PBM, lepas jawatan sebagai menteri

Siti Zauyah memberi keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terkini

Lelaki curi seluar dalam wanita dipenjara dua tahun

SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan atau dua tahun di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah, hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan