25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Maritim tahan bot nelayan Vietnam bersama 300kg ikan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MARITIM Malaysia telah menahan dua bot nelayan asing Vietnam pada kedudukan 36.4 dan 36.7 batu nautika daripada muara Tok Bali, Kelantan semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, tangkapan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia daripada Pos Maritim Pengkalan Kubor yang sedang melaksanakan operasi bersepadu Op Naga Barat dan Op Damai Siri 32/2022.

Menurutnya, bot pertama dikesan pada pukul 1.05 pagi sekitar jarak 3.7 batu nautika daripada bot peronda dan didapati sedang melakukan aktiviti perikanan.

“Menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan cuba melarikan diri, namun gagal dan ditahan pada pukul 1.30 pagi.

“Bot kedua pula dikesan pada pukul 1.45 pagi lebih kurang 1.1 batu nautika daripada bot peronda dan ditahan 15 minit kemudiannya.

“Bot pertama dikendalikan 10 kru termasuk tekong, manakala bot kedua dikendalikan dua kru termasuk tekong yang kesemuanya disyaki warga Vietnam berumur antara 25 hingga 61 tahun,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Khairun Dalilah berkata, kedua-dua bot merupakan bot tunda nelayan asing Vietnam yang telah gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan telah melanggar Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, dua tekong turut melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia

“Tangkapan kali ini melibatkan 12 kru termasuk tekong, rampasan dua bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi, hasil tangkapan ikan campur lebih kurang 300 kilogram dan ikan baja lebih kurang 300 kilogram serta bekalan diesel 3000 liter dengan anggaran RM2.04 juta.

“Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

“Bagi kes di bawah Akta Imigresen, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

“Proses membawa balik bot tahanan telah mengambil masa lebih tujuh jam sebelum tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan pada pukul 9.00 pagi Jumaat untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan