29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Lebih setengah juta pelancong asing tiba sejak 1 April

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

SEKTOR pelancongan yang paling teruk terjejas ekoran pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu kini kembali menampakkan pertumbuhan positif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lalu seramai 567,025 pelancong asing telah memasuki negara ini.

Beliau berkata, ia adalah 93.8 peratus daripada keseluruhan 604,457 warga asing yang memasuki negara ini dalam tempoh sehingga 12 Mei lalu, sepertimana direkodkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

“Di awal pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) telah menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong asing pada tahun ini dengan pendapatan RM8.6 bilion.

“Sehubungan itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM230 juta dalam Belanjawan 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang memberikan manfaat kepada penggiat seni, budaya dan warisan di bawah sektor pelancongan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu malam ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Ismail Sabri turut bersyukur kerana kemeriahan Aidilfitri dapat kembali dirasai setelah hampir dua tahun tidak dapat menyambutnya.

“Saya amat gembira melihat Keluarga Malaysia dapat pulang ke kampung halaman meraikan hari raya tahun ini dengan ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara serta kenalan.

“Teruskan amalan ziarah menziarahi sepanjang Syawal ini bagi mengeratkan silaturahim di antara kita,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan bahawa sambutan Aidilfitri hanya ajan menjadi lebih bermakna apabila dirayakan dalam suasana negara yang aman dan sejahtera.

Bagaimanapun, tegas beliau, suasana aman atau keamanan itu hanya dapat dikecapi jika rakyat mengamalkan sikap saling hormat- menghormati antara satu sama lain untuk hidup bersama ibarat sebuah keluarga besar meskipun berbeza ras, budaya dan kepercayaan.

“Justeru, saya ingin mengajak seluruh Keluarga Malaysia supaya berpegang kepada konsep Tasamuh yang menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Tasamuh atau sifat toleransi dalam bermasyarakat akan menjadikan seseorang itu lebih menghargai perbezaan di antara kita. Ia sewajarnya dijadikan amalan kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan