24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Video viral seret anjing: Polis telah ambil keterangan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS telah mengambil keterangan seorang wanita dan anaknya berhubung video tular seekor anjing diseret dari dalam sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih yang bergerak baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, berdasarkan video berdurasi sembilan saat itu, kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan Taman Sri Skudai, Skudai, Johor.

Katanya, hasil soal siasat ke atas lelaki berusia 34 tahun dan ibunya yang berusia 61 tahun, kejadian terbabit didakwa berlaku pada kira-kira jam 2 petang, Jumaat lalu.

“Mengikut keterangan diberikan, anjing tersebut merupakan haiwan peliharaan mereka yang hilang dan dijumpai semula dalam keadaan kotor dan berkutu.

“Mereka beranggapan tidak sesuai untuk membawa masuk haiwan berkenaan ke dalam kereta.

Advertisements

“Ibu lelaki berkenaan menggunakan tali leash untuk menarik anjing dari tingkap penumpang hadapan kereta yang dipandu secara perlahan memandangkan kawasan anjing itu ditemui berhampiran dengan rumah mereka,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Rupiah berkata, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diperoleh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan/Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122,” katanya.

Sebelum ini, video yang tular di media sosial mengundang kemarahan orang ramai yang mengecam perbuatan individu di dalam Myvi berkenaan dan menyifatkan ia terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan