31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Usul MySejahtera: Isu keselamatan data peribadi dibangkitkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ISU mengenai tahap keselamatan data peribadi pengguna aplikasi MySejahtera dan pemilik sebenar aplikasi itu antara perkara yang dibangkitkan oleh kebanyakan Senator ketika membahaskan usul berkaitan aplikasi MySejahtera di Dewan Negara hari ini.

Antara yang membangkitkan perkara itu ialah Senator Datuk Koh Nai Kwong yang mempersoalkan sama ada semua data peribadi masyarakat di negara ini terjamin keselamatannya tanpa dikompromi oleh mana-mana pihak yang mengunakan data itu untuk tujuan komersial serta politik.

Beliau berkata, sebelum ini kebenaran untuk menyimpan data peribadi dalam aplikasi itu dibuat secara percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat, tetapi kenapa ia dikenakan bayaran secara tiba-tiba.

“Adakah ini bermakna ia melibatkan isu jual beli,” katanya yang turut meminta Kementerian Kesihatan menyatakan siapa pemilik sebenar aplikasi itu dan sama ada kementerian itu masih mempunyai hak ke atas aplikasi itu atau ia dimiliki sepenuhnya oleh syarikat swasta MySJ Sdn Bhd.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff pula bertanya Kementerian Kesihatan sama ada pengguna MySejahtera mempunyai hak untuk membatalkan pendaftaran keahlian aplikasi berkenaan dan menyekat pembangun atau pengendali untuk akses maklumat peribadi.

“Di manakah data-data ini disimpan dan bagaimana ia dilupuskan setelah pengguna membatalkan pendaftaran mereka. Apakah jaminan kerajaan terhadap keselamatan data peribadi rakyat tidak disalahgunakan atau dimanipulasikan untuk tujuan lain seperti tujuan pilihan raya atau dijual untuk tujuan tertentu,” soalnya.

Menyentuh kemungkinan MySejahtera akan dimansuhkan, Wan Martina meminta penjelasan berhubung rasionalisasi kerajaan dalam membayar kos yang tinggi untuk pembelian aplikasi itu supaya rakyat tidak meragui serta yakin untuk terus menggunakannya.

Senator Aknan Ehtook pula ingin tahu kenapa MySejahtera perlu dijual kepada syarikat MySJ Sdn Bhd dan pihak mana yang membuat keputusan mengenai penjualan aplikasi berkenaan.

“Adakah ini keputusan Kementerian Kesihatan sahaja atau bersama Kementerian Kewangan atau ini keputusan kabinet negara kita untuk menjual MySejahtera ini dan apakah asas pemilihan untuk persetujuan menjual aplikasi ini kepada MySJ Sdn Bhd?” katanya.

Beliau berpandangan apa yang dijual bukan aplikasi berkenaan, tetapi data yang terdapat dalam MySejahtera, sehingga menjadikan harga jualan yang tinggi atas faktor pemilikan data peribadi pelbagai golongan.

Terdahulu, Senator Muhammad Zahid Md Arip meminta Dewan Negara membahaskan berkenaan kontroversi keselamatan data peribadi rakyat Malaysia dalam aplikasi MySejahtera susulan langkah memilih syarikat swasta MySJ Sdn Bhd untuk meneruskan pengurusan aplikasi itu.

Muhammad Zahid berkata, individu penting dalam syarikat itu juga mempunyai hubungan serta kaitan secara langsung dengan syarikat KPISoft Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi itu.- Bernama

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan