25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

TMJ tawar khidmat peguam secara percuma untuk Bella

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Tunku Ismail menegaskan akan menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran tersebut.

“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.

“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial malam tadi.

Tambah Tunku Ismail lagi, kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam dan peguambela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT)

“Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini,” katanya.

Tawaran tersebut susulan isteri beliau, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dilapor sedia membantu Bella mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu.

Advertisements

Media tahun lalu melaporkan remaja yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Mahkamah pada 5 Julai tahun lalu mengeluarkan perintah menyita rumah kebajikan itu yang terletak di Jalan Kukuban di Taman Setapak di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka dari rumah kebajikan itu.

Rumah kebajikan berkenaan juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.

Kisah menyayat hati itu remaja OKU itu mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial.

Bella kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan