29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) digubal

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PELAN Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) akan digubal bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim secara holistik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pandemik COVID-19 yang merupakan salah satu penyakit zoonotik telah mengakibatkan 6.11 juta kematian di dunia.

“Terdapat penyakit-penyakit zoonotik lain seperti denggi dan zika yang juga berpunca daripada status keadaan alam semula jadi yang semakin terancam.

“Mesyuarat bersetuju agar MOSTI menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama daripada semua pemegang taruh untuk menggubal pelan ini,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Semalam, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang pertama bagi tahun 2022.

Dalam mesyuarat berkenaan kerajaan juga bersetuju menambah baik struktur tadbir urus Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dalam usaha mempergiatkan pengkomersialan hasil inovasi tempatan yang berpaksikan kepada kemampanan sosioekonomi negara.

Antara penambahbaikan NTIS adalah menerusi Jawatankuasa Task Force NTIS diubah nama kepada Jawatankuasa Pemandu NTIS; Majlis NTIS dimansuhkan dan digantikan pelaporan kepada NSC dan Jawatankuasa Task Force NTIS yang baharu diwujudkan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI.

Ismail Sabri berkata, pelbagai usaha kerajaan dilaksanakan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

“Ia berlandaskan tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Mesyuarat tersebut juga antaranya membincangkan tentang Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 yang wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri.

“Ini adalah selari dengan Revolusi Industri 4.0 seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, pranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global yang akan melonjakkan ekonomi negara.

“Dalam tempoh lima tahun, Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara akan memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan merangkumi pekerja berkemahiran tinggi (5,968), separuh mahir (24,755), dan kurang mahir sebanyak 2,668 orang.

“Industri ini dijangka menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun,”katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga telah membincangkan penawaran (modal insan) dan permintaan (pasaran pekerjaan) dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing STI negara.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius jumlah pelajar pelajar dalam bidang STEM yang ketika ini adalah pada kadar 47 peratus, dan sains tulen sebanyak 19 peratus.

“Minat para pelajar dalam bidang STEM perlu dipertingkatkan dan Kementerian Pendidikan diarah menerajui Hala Tuju STEM.

“Mesyuarat turut menyentuh tentang kepentingan untuk mengetengahkan STI
di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).

“Usaha MOSTI ini adalah satu langkah yang baik dalam memperkasakan inovasi di peringkat akar umbi.

“Inisiatif ini dilihat mampu menganjakkan
pengagihan ekonomi yang inklusif kepada semua peringkat pendapatan terutamanya B40 dan M40 dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi tempatan di peringkat akar umbi,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan