26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Maritim Malaysia perketat kawalan perairan menjelang Aidilfitri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa bersiap siaga dan terus memperketatkan lagi kawalan perairan negara menerusi Op Khas Pagar Laut sepanjang musim perayaan bermula 19 April hingga 17 Mei depan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata selain mengukuhkan kawalan keselamatan serta kesiapsiagaan aset, keanggotaan dan penguatkuasaan agensi itu terutama di kawasan titik panas turut ditingkatkan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan tindakan pencegahan efektif dilaksanakan supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.

“Pelaku jenayah beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti dan meraikan perayaan.

“Situasi ini sering kali diambil kesempatan oleh sindiket dan penjenayah dengan melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan, penipuan serta lain-lain jenayah berkaitan melalui jalan laut.

“Menyedari ancaman yang bermusim serta berdasarkan trend aktiviti jenayah di musim perayaan Aidilfitri sebelum ini, Maritim Malaysia tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi dan akan melancarkan Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2022 di seluruh perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 membabitkan semua maritim negeri, termasuk zon maritim berikutan cabaran dan ancaman berbeza antara negeri-negeri.

“Sebagai contoh, negeri di sepanjang Selat Melaka berdepan aktiviti penyeludupan dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kontraband, manakala di Pantai Timur pula aktiviti pencerobohan bot nelayan asing.

“Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan turut berdepan dengan ancaman penyeludupan kontraband, PATI, dadah serta barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Mohd Zubil memberitahu, menerusi operasi sama tahun lalu pihaknya telah merekodkan 21 tangkapan membabitkan PATI, penyeludupan dadah, kontraband, ketum dan lain-lain dengan nilai rampasan dianggarkan RM 38.8 juta.

“Setakat 8 April lalu, sebanyak 257 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan dadah, kontraband dan pencerobohan bot nelayan asing,” katanya.-Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan