31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kes SRC: Najib mohon lebih masa fail rayuan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memohon lanjutan masa bagi membolehkan mereka memfailkan petisyen rayuan berkaitan kes penyelewengan dana SRC International (SRC) bernilai RM42 juta di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Najib telah diarahkan untuk memfailkan petisyen rayuan sekitar 25 April ini dengan rekod rayuan dari Mahkamah Rayuan telah diserahkan kepada pasukan pembelaan dan pendakwaan pada 31 Mac lepas.

Petisyen berkenaan perlu dilakukan dalam tempoh 10 hari mengikut prosedur mahkamah.

Dalam afidavit yang menyokong permohonan itu, Najib memohon untuk masa tambahan memandangkan terdapat 176 jilid rekod rayuan dan ianya perlu masa untuk diteliti oleh pasukan pembelaan mewakilinya.

Perkara itu juga menurut Najib telah dimaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram dan Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul ketika pengurusan kes.

Difahamkan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung permohonan tersebut.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat tersebut.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan