32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Sejarah wang pemisahan waris Kesultanan Sulu – Bahagian Akhir

Memahami sejarah wang pemisahan waris Kesultanan Sulu - Bahagian akhir

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh PROF MADYA DR NAZARUDIN ZAINUN

PROF MADYA DR NAZARUDIN ZAINUN

PERTIKAIAN yang timbul adalah berkisar tentang kegagalan kerajaan Malaysia membayar jumlah yang dipersetujui melalui perjanjian 22 Januari 1878 sebanyak RM5,300 setahun sejak 2013 sebagai balasan bagi tanah yang diserahkan di Sabah.

Semua hubungan adalah dengan Sabah, maka Mahkamah di Sabah adalah forum yang sesuai untuk mengadili sebarang pertikaian yang timbul. Sebelum ini juga kerajaan British pernah menolak permohonan peguam pihak penuntut untuk melantik penimbang tara, yang menyaksikan mereka beralih ke Sepanyol.

Berdasarkan Perjanjian 1878 memperuntukkan bahawa sebarang pertikaian ‘hendaklah dikemukakan kepada Konsul General British di Borneo/ Brunei’. Pejabat itu tidak lagi wujud selepas pembentukan Malaysia.

Satu-satunya hubungan yang mungkin dikaitkan dengan Sepanyol adalah untuk tempoh yang singkat antara 1878 dan 1885 Sepanyol mempunyai beberapa hak ke atas Borneo Utara, yang diserahkan pada 1885 kepada Britain.

Memandangkan tiada dokumen perjanjian timbang tara 1878 dan 1903, pihak yang menuntut dari Sulu memohon kepada mahkamah di Sepanyol, yang melantik penimbang tara Sepanyol untuk membicarakan pertikaian antara warga Filipina dan Malaysia, berkaitan perjanjian berurusan dengan tanah di Malaysia dan pembayaran dalam ringgit Malaysia.

Hal ini sungguh tidak masuk akal. Ini kerana penimbang tara Sepanyol sudah tiada kaitan lagi dalam isu tersebut.

Alasan bahawa tuntutan itu dibuat di Sepanyol kerana perjanjian itu dibuat di sana adalah tidak masuk akal, ini kerana Sepanyol tiada apa-apa kaitan lagi, apabila Sepanyol yang menakluk wilayah-wilayah Sultan Sulu, melalui satu protokol yang ditandatangan di Madrid 1885 telah melepaskan semua tuntutannya ke atas hak memerintah wilayah Borneo yang dimiliki Sultan Sulu sebelumnya kepada kerajaan British.

Ketika penguasaan Sepanyol di seluruh Filipina, Sultan Sulu telah dipaksa untuk menandatangani sebuah dokumen, yang mana mengikut dokumen tersebut semua harta di Palawan dan Sulu (tetapi tidak di Borneo Utara) telah berada di bawah kekuasaan Sepanyol.

Pada tahun 1885, Sepanyol telah menandatangani Protokol Madrid bersama United Kingdom dan disaksikan oleh Jerman bagi melepaskan kesemua tuntutannya ke atas bahagian utara Pulau Kalimantan yang memihak pada Great Britain.

Dalam hal ini jika tuntutan Sultan Sulu itu sah dan pengurniaan itu bersifat penyewaan, tetapi nampaknya kerajaan Sepanyol sebagai penjajah wilayah tersebut telah menamatkannya.

Jadi oleh kerana kerajaan Filipina adalah pengganti kepada Sepanyol (sebelum itu Amerika Syarikat) maka mereka tiada hak lagi untuk menuntut Sabah.

Dalam hal ini maka jumlah tuntutan sepatutnya hanya berkisar kepada jumlah tunggakan RM5,300 pertahun sahaja sejak 2013 sesuai dengan perjanjian.

Jika demikian maka tuntutan sebanyak RM5,300 pertahun sejak 2013 hingga 2019 dengan bunga 10% maka tuntutan tersebut seharusnya hanya sebanyak RM48,230 sahaja. Jika demikian dari mana munculnya angka RM63 bilion tersebut?

Sebenarnya pihak penuntut cuba untuk menuntut bukan sahaja tunggakan wang pemisahan tahunan, tetapi juga meliputi tuntutan pampasan untuk hasil minyak dan gas yang ditemui di rantau tersebut sebelum ini.

Persoalannya apakah waris kesultanan Sulu berhak menuntut bahagian tersebut? Perhatikan fakta sejarah berikut iaitu waris Kesultanan Sulu pada 12 September 1962, Sultan Mohammad Ismail Kiram dengan rasminya telah menyerahkan kuasa memerintah Borneo Utara kepada kerajaan Filipina.

Maka dalam hal ini waris Kesultanan Sulu sudah tiada kuasa dan kaitan dengan apa-apa wilayah di Borneo. Mereka hanya berhak menuntut bayaran wang pemisahan tahunan sebanyak RM5,300 sahaja berdasarkan Perjanjian 1878.

Advertisements

Sedangkan ‘jika ada pun’ apa-apa pampasan berkaitan dengan hasil minyak dan gas misalnya itu tentunya adalah hak mutlak kerajaan Filipina sebagai ‘penerima Borneo Utara’ daripada penyerahan kuasa oleh waris Kesultanan Sulu, Sultan Mohammad Ismail Kiram pada 1962. Jadi timbul persoalan angka RM63 bilion tersebut muncul dari pihak mana?

Sekiranya pihak penuntut benar-benar mahu menyelesaikan permasalahan yang timbul akibat pencerohohan pada 2013 maka forum yang paling sesuai ialah Mahkamah Tinggi di Sandakan, seperti yang diperakui oleh nenek moyang mereka pada 1939.

Apa yang sama sekali tidak boleh diterima ialah tindakan mahkamah di negara asing yang tidak mempunyai kaitan, sama ada secara fakta atau undang-undang, dengan tuntutan mereka bagi mendapatkan wang pemisahan tahunan.

Bagi memastikan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam timbang tara Sepanyol yang dimulakan tanpa kerelaannya, maka Malaysia mencadangkan membuat permohonan injunksi.

Hakim di Mahkamah Tinggi memerintahkan semua kertas mahkamah diserahkan kepada peguam Britain untuk lapan individu itu dan penimbang tara di Sepanyol. Ini dilakukan melalui e-mel, pos berdaftar dan perkhidmatan peribadi melalui peguam Sepanyol.

Justeru, lapan individu penuntut itu mempunyai pengetahuan sebenar tentang prosiding mahkamah Sabah. Tiada seorang pun daripada mereka yang mengambil bahagian.

Hakim memberikan perintah kepada kerajaan Malaysia yang bermaksud bahawa forum yang sesuai untuk menyelesaikan pertikaian itu ialah di Mahkamah Tinggi di Sabah, dan bukan Sepanyol.

Satu isu yang penting adalah perkara dalam tuntutan tersebut bukan bersifat komersil, hanya tuntutan wang pemisahan tahunan dan dengan demikian tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara seperti yang dilakukan oleh pihak penuntut.

Hal ini ditambah lagi dengan Perjanjian 1878 itu juga tidak mengandungi apa-apa klausa peruntukan timbang tara.

Injunksi telah dikeluarkan untuk menghalang timbang tara. Perintah telah disampaikan kepada individu yang berkaitan, termasuk penimbang tara. Ini adalah untuk membatalkan perintah mahkamah Sepanyol yang melantik penimbang tara.

Semua langkah yang boleh diambil oleh Malaysia secara munasabah untuk menghadapi masalah mengenai timbang tara Sepanyol telah diambil dengan segera dan profesional.

KESIMPULAN

Tuntutan terhadap Sabah sudah tidak relevan lagi berdasarkan fakta sejarah bahawa tindakan Sepanyol melepaskan kesemua tuntutannya melalui Protokol Madrid 1885 kepada Great Britain dan Malaysia adalah penyambungnya.

Sementelah itu penduduk Sabah juga telah menyatakan pendirian mereka untuk menyertai Malaysia melalui referendum yang dibuat oleh wakil PBB. Pihak Filipina harus menghormati prinsip self determination yang dibuat oleh rakyat Sabah.

Sementara itu forum yang paling sesuai untuk membuat tuntutan pampasan penyerahan tersebut ialah di Sabah itu sendiri, bukan di luar negara.

Jumlah yang dituntut oleh waris sultan Sulu seharusnya jumlah pampasan yang tertangguh iaitu sebanyak RM5,300 per tahun dan bukannya RM63 bilion.

Jumlah RM63 bilion ini jika ditafsirkan ada kaitannya dengan penemuan minyak dan gas di kawasan itu adalah tidak relevan kerana isu kepemilikan wilayah Borneo Utara sudah tuntas dan telah diiktiraf oleh PBB.

Dengan demikian timbul persoalan: Apakah tuntutan tersebut didalangi oleh negara tertentu, untuk tujuan tertentu dan bukannya untuk kepentingan waris kesultanan Sulu semata-mata?

  • Prof Madya Dr Nazarudin Zainun adalah pakar sejarah Asia Tenggara dan merupakan pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia.
Advertisements

Terkini

TLDM tubuh lembaga siasatan tragedi nahas dua helikopter

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua buah helikopter...

Lagi Artikel Berkaitan