29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Sejarah wang pemisahan waris Kesultanan Sulu – Bahagian 2

Malaysia diarah membayar RM63 bilion

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh PROF MADYA DR NAZARUDIN ZAINUN

PROF MADYA DR NAZARUDIN ZAINUN

ISU tuntutan Filipina terhadap Sabah ini muncul kembali apabila pada 1 Mac 2022, banyak media massa melaporkan bahawa kerajaan Malaysia diarah membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan Sulu yang terakhir.

Ini akibat pelanggaran perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Muhammad Jamalul Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo.

Malaysia dilaporkan telah berhenti membayar wang pemisahan tahunan RM5,300 kepada waris sultan Sulu sejak 2013 berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 11 Februari 2013.

Laman web berita Sepanyol La Información melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa mengarahkan pembayaran itu semasa perbicaraan di mahkamah arbitrasi di Paris, Perancis. Kenapa pula penimbang taranya orang Sepanyol tapi perbicaraannya dibuat di Perancis?

Mereka menggelarnya sebagai ‘arbitrasi terbesar di Sepanyol’, artikel itu berkata Dr Stampa memutuskan bahawa perjanjian 1878 adalah satu ‘perjanjian pajakan swasta antarabangsa’ komersial.

Dengan tidak membayar wang pemisahan sejak 2013, dia berkata Malaysia telah melanggar perjanjian itu. Melainkan anugerah itu dibatalkan, Malaysia mempunyai tiga bulan untuk membayar atau berisiko membayar faedah.

Waris sultan Sulu pada mulanya mahu menuntut AS$32.2 bilion (RM135.08 bilion) daripada Malaysia. Ini adalah untuk mendapatkan semula wang pemisahan yang belum dibayar bersama-sama dengan jumlah yang mereka percaya sepatutnya dibayar untuk hasil minyak dan gas yang ditemui di rantau ini.

Mereka diwakili oleh firma guaman Sepanyol B Cremades & Asociados bersama Paul Cohen dan Elisabeth Mason dari 4-5 Gray’s Inn Square di London. Penimbang tara (Dr Stampa) mematuhi mandatnya dengan teliti dan sah, memutuskan pertikaian kontrak antara pihak, seperti dilaporkan portal yang memetik Bernardo Cremades Jr.

Waris berkenaan telah memulakan kes di Sepanyol kerana perjanjian 1878 ditandatangani di bumi Sepanyol. Bolehkah demikian? Kenapa tidak difailkan di bumi Borneo sahaja?

Kes itu pada asalnya dibicarakan di Madrid sehingga Mahkamah Tinggi Madrid (Tribunal Superior de Justica de Madrid) membatalkan pelantikan Dr Stampa atas alasan bahawa Malaysia tidak dimaklumkan dengan betul mengenai kes berkenaan dan dengan itu ‘tidak dapat membela diri’.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke ibu negara Perancis. Menurut laman web Global Arbitration Review, Malaysia tidak hadir semasa perbicaraan timbang tara di Paris. Susulan pembatalan Stampa, Malaysia mencabar kesahihan untuk mendengar kes itu dibicarakan mahkamah jenayah.

PENJELASAN KERAJAAN MALAYSIA

Berikutan itu pihak Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan penjelasan mereka berkaitan bayaran RM63 bilion kepada waris sultan Sulu pada 2 Mac 2022.

Pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II (Penuntut) telah membuat satu tuntutan terhadap Kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Tuntutan tersebut berbangkit daripada perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai pada tahun 1878 antara Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sultan Sulu pada masa itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent melalui Perjanjian 1878 di mana Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara, yang kini merupakan sebahagian daripada Sabah, Malaysia.

Advertisements

Sebagai balasan (token), Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang pemisahan tahunan sebanyak RM5,300 setiap tahun. Susulan daripada serangan bersenjata di Lahad Datu, bayaran wang pemisahan tahunan tersebut telah dihentikan secara sepihak oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2013.

Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu kerana Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Tambahan pula, perkara dalam tuntutan tersebut bukan bersifat komersil dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara serta Perjanjian 1878 juga tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara. Kerajaan Malaysia juga ingin menekankan bahawa identiti Penuntut diragui dan belum disahkan.

Jamalul Kiram III bersama anak perempuannya Jacel Kiram.

Sebenarnya sebelum berlakunya tuntutan di Sepanyol tersebut, pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak (Mahkamah Tinggi Sabah), yang bersidang di Kota Kinabalu, telah membuat keputusan yang tidak memihak kepada Penuntut dengan memutuskan bahawa Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya, penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan dan Mahkamah Tinggi Sabah merupakan forum yang neutral dan teratur untuk memutuskan apa-apa tuntutan berkenaan dengan Perjanjian 1878 tersebut.

Kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah tersebut di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol. Walau bagaimanapun, permohonan tersebut belum didengar.

Pada 29 Jun 2021, berdasarkan permohonan Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi di Madrid, Sepanyol telah memutuskan bahawa serahan notis di bawah prosiding pelantikan penimbang tara bagi maksud tuntutan tersebut tidak diserahkan dengan teratur kepada Malaysia selaras dengan peraturan-peraturan antarabangsa dan undang-undang Sepanyol (Keputusan Pembatalan).

Ia juga tidak selaras dengan keputusan-keputusan kes sebelum ini di bawah Mahkamah Tinggi Madrid bagi maksud proses serahan kepada negara berdaulat. Akibat daripada Keputusan Pembatalan tersebut, Dr Stampa bukan lagi seorang penimbang tara dalam prosiding timbang tara tersebut dan oleh itu, semua keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award, adalah tidak sah dan terbatal. Kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya Final Award bertarikh 28 Februari 2022, yang telah dikeluarkan oleh Dr Stampa.

Walau apa pun Keputusan Pembatalan oleh Mahkamah Tinggi Madrid, Penuntut, dalam cubaan mereka untuk memintas keputusan ini tanpa pengetahuan Kerajaan Malaysia, telah memperoleh perintah ex parte dari Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis (Perintah Exequatur) untuk mengiktiraf Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan oleh Dr Stampa pada 25 Mei 2020 (yang telah dibatalkan akibat Keputusan Pembatalan). Berdasarkan Perintah Exequatur, Dr Stampa telah menukar tempat timbang tara ke Paris, Perancis untuk mengeluarkan Final Award.

Ekoran daripada tindakan Penuntut, Kerajaan Malaysia telah memfailkan satu rayuan terhadap Perintah Exequatur tersebut di Mahkamah di Perancis di mana Kerajaan Malaysia telah berjaya memperoleh Perintah ex parte bertarikh 16 Disember 2021 (Perintah Penggantungan) daripada First President of the Paris Court of Appeal yang menggantung pelaksanaan Perintah Exequatur di Perancis dan menghalang Penuntut daripada bergantung kepada Perintah Exequatur tersebut.

Bertentangan dan bercanggahan dengan Perintah Penggantungan tersebut, Penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan Final Award hendaklah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis. Dr Stampa bersetuju dengan permohonan Penuntut dengan tidak mengendahkan kesan penggantungan Perintah Exequatur.

Justeru, kesannya adalah Final Award yang dikeluarkan oleh Dr Stampa pada 28 Februari 2022 bukan sahaja mencabuli kekebalan kedaulatan Malaysia malahan juga tidak mempedulikan keputusan-keputusan mahkamah di Madrid dan Paris.

Kerajaan Malaysia dengan tegasnya membantah Final Award dan mengekalkan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan yang telah diambil oleh Dr Stampa dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu serta semua keputusannya yang mana adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Dalam hal ini, pihak Pendakwa Raya Sepanyol telah memfailkan suatu aduan jenayah terhadap Dr Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah yang serius dan gangguan profesional (profesional intrusiveness). Mahkamah Jenayah N.40 di Madrid kemudiannya telah memulakan suatu siasatan jenayah berhubung dengan tindakan-tindakan Dr Stampa yang tidak sah dari segi undang-undang.

Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala Tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

(Bersambung…)

  • Prof Madya Dr Nazarudin Zainun adalah pakar sejarah Asia Tenggara dan merupakan pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia.
Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan