30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pendidik diseru pertahan penghormatan, tertib ilmu – Radzi Jidin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

WARGA pendidik diseru untuk terus mempertahankan penghormatan yang diberikan dengan memastikan setiap langkah, pendekatan, tindakan dan tingkah laku adalah berpaksikan kepada profesionalisme, etika, integriti serta tertib keilmuan yang tinggi.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, masyarakat begitu menghormati dan memandang tinggi kepada insan yang bergelar guru kerana ilmu dan keperibadian mulia yang dimiliki.

Menurutnya, usaha gigih guru memerah keringat memastikan anak-anak didik tidak renggang daripada sistem persekolahan, khususnya sewaktu pandemik melanda menunjukkan kesungguhan guru dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

“Besarlah harapan saya agar semua guru dapat sama-sama usahakan supaya elemen SEJAHTERA, iaitu Selamat, Seronok & Sihat, Etika & Empati, Jati Diri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti dan Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi dapat diterap, dididik, diamal dan dihayati oleh semua warga sekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Radzi berkongsikan program semalam beliau di Kuala Terengganu bagi menjayakan pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan 2022.

Pada majlis berkenaan, beliau telah mengumumkan ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’ sebagai tema Hari Guru 2022.

Menurut beliau, semoga tema berkenaan memberi aspirasi kepada semua warga pendidik di seluruh negara untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Advertisements

“Terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Yayasan Guru Malaysia Berhad, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta atas kesungguhan dan kerja keras dalam menjayakan program Gerakan Massa.

Menurut beliau, program tahunan berkenaan adalah bagi membawa seluruh masyarakat menghargai jasa bakti serta pengorbanan guru dalam mendidik anak-anak generasi pewaris negara.

“Tunjang asas kepada profesion keguruan adalah ilmu. Murid perlu memahami ilmu yang disampaikan oleh guru dan guru pula perlu memperkasakan ilmu demi memastikan murid mendapat yang terbaik.

“Oleh itu, penerokaan ilmu yang berterusan merupakan kunci untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan untuk semua,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau turut berkongsi aspirasi 14 elemen nilai murni yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA.

“Antara lain konsep ini bertujuan memupuk dan menerapkan nilai-nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah, khususnya murid,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan