28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Malaysia tidak layan tuntutan terhadap Sabah – PM

Kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu tersebut secara tuntas dan muktamad

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN Malaysia tidak akan melayan tuntutan mana-mana pihak berkenaan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Kesultanan Sulu terhadap kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa tidak sah dan melanggar undang undang.

Menurut beliau, pelantikan penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa dibatalkan Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan yang dikeluarkan Stampa adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu.

“Walaupun pelantikan Stampa telah dibatalkan, tetapi Stampa tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan meneruskan prosiding timbang tara tersebut sehinggalah mengeluarkan Final Award tersebut.

“Kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara, termasuk kedaulatan dan keutuhan Sabah dalam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Perdana Menteri lagi, Negeri Sabah telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.

“Bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award tersebut pada 3 Mac lalu di Mahkamah di Paris.

“Ini bagi memastikan keputusan Final Award tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut.

“Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas dan muktamad,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan negeri Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan