28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Hup Wei bersara selepas 18 tahun tabur bakti

Bekas pemegang rekod kebangsaan itu umum persaraan selepas namanya tidak disenaraikan menyertai Sukan SEA Hanoi Mei ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JAGUH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei akhirnya mengumumkan persaraan secara rasmi hari ini selepas 18 tahun menabur bakti buat Malaysia di pentas antarabangsa.

Hup Wei, 34, mengakui, sudah lama memikirkan mengenai persaraan dan bercadang mengumumkannya selepas berakhir temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 23 Mei depan.

Bagaimanapun, bekas pemegang rekod kebangsaan itu terpaksa mengumumkannya lebih awal selepas namanya tiada dalam senarai dua atlet lompat tinggi yang akan mewakili Malaysia ke temasya dwitahunan Asia Tenggara tersebut.

Sebaliknya dua atlet yang akan mewakili negara di Hanoi nanti ialah pemegang rekod kebangsaan ketika ini, Nauraj Singh Randhawa dan Mohamad Eizlan Dahalan.

“Badan saya juga sudah mencapai tahap maksimum. Proses pemulihan badan saya juga berjalan dengan sangat perlahan sekarang.

“Saya memandang ke hadapan dan menjadi jurulatih. Mungkin dapat melahirkan ramai pelapis untuk meraih pencapaian lebih baik lagi selepas ini.

Advertisements

“Saya tak terpilih ke Sukan SEA, jadi saya fikir inilah masa paling sesuai (bersara). Selepas ini saya akan fokus kepada tugas sebagai jurulatih dan menubuhkan akademi sendiri,” katanya seperti dilaporkan Kosmo hari ini.

Hup Wei yang mula mewakili Malaysia pada 2004, berjaya memenangi empat pingat emas Sukan SEA sewaktu edisi Manila 2007, Vientiane 2009, Palembang 2011 dan Manila 2019 serta satu perak pada Kuala Lumpur 2017.

Atlet dari Kajang, Selangor itu turut berkongsi nama sebagai pemegang rekod Sukan SEA bersama Nauraj dan bekas atlet negara, Loo Kum Zee dengan catatan 2.24 meter (m).

Selain itu, Hup Wei juga pernah memenangi pingat emas Kejohanan Asia 2007 di Amman, Jordan selain mewakili Malaysia di tiga Sukan Olimpik pada Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Satu lagi pencapaian membanggakan buat Hup Wei adalah dia satu-satunya atlet lompat tinggi negara yang pernah beraksi di pentas final Kejohanan Olahraga Dunia sewaktu edisi 2019 di Doha, Qatar.

Sebagai rekod, Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini menjadi pertandingan terakhir dalam karier Hup Wei.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan