29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Akta antigangguan seksual antara 6 inisiatif untuk wanita – PM

Akta Pembiayaan Kewangan diperkenal bagi membolehkan pihak bank membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam inisiatif daripada kerajaan bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa termasuk mewujudkan Rang Undang-undang Antigangguan Seksual (BDPS).

Rang undang-undang itu merupakan salah satu daripada enam inisiatif kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri bagi memperkasa wanita di negara ini.

Lima lagi inisiatif penubuhan Majlis Wanita Negara serta mewajibkan sambutan Hari Wanita diadakan di semua peringkat pada setiap 8 Mac bagi menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita.

“Bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian yang panjang, Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah dimantapkan lagi.

“Hakam merupakan satu kaedah untuk memudah dan mempercepatkan proses perceraian di kalangan pasangan Islam.

“Kaedah ini diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Wanita 2022 di Kuala Lumpur malam ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Selain memperkasa institusi hakam, Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Kata beliau, pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang ringgit di mahkamah, atau dipanggil Hiwalah.

Advertisements

“Memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh wanita yang kematian suami, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah digalakkan untuk membenarkan wanita tersebut untuk
bekerja dari rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan,” kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri berkata, dalam usaha mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta
keberkesanan lembaga pengarah, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.

Cadangan tersebut dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

Kata beliau, kerajaan juga akan menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta memperkasa Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pelaku jenayah terhadap wanita diambil tindakan yang tegas dan pantas.

Langkah itu penting dalam aspek keselamatan dan perlindungan sosial terhadap wanita, terutama yang berhadapan dengan masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan.

“Selain itu, program kesedaran komuniti bagi menangani isu keganasan terhadap wanita turut dilaksanakan melalui Skuad Waja,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan kesihatan wanita terus terpelihara, kerajaan juga memperuntukkan lebih RM11 juta sebagai subsidi ujian
mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita.

Manakala remaja wanita dibekalkan dengan kit asas kebersihan diri yang diedarkan secara percuma kepada 130,000 remaja wanita golongan B40 setiap bulan sepanjang tahun 2022. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan