28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

USIM benarkan 70 peratus pelajar pulang ke kampus 21 Mac

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) bersedia membenarkan sebanyak 70 peratus orang pelajar untuk pulang ke kampus bagi meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula 21 Mac depan.

Ia selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pengumuman daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi bermula pada bulan hadapan.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin, berkata sehubungan itu, aktiviti PdP di pusat pengajian itu secara bersemuka adalah dibenarkan untuk pelajar yang telah lengkap vaksinasi dan melepasi tempoh keberkesanan selepas vaksinasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, aktiviti PdP yang telah ditetapkan adalah secara hibrid mengikut program pengajian.

“Bagi pelaksanaan mengikut kursus pula ia akan dilaksanakan berdasarkan tiga kaedah iaitu bersemuka sepenuhnya, secara bersemuka dan dalam talian atau dalam talian sepenuhnya.

“Setiap fakulti akan merancang kaedah PdP segerak (synchronous) dan tidak segerak (asynchronous) dengan mengambil kira kemampuan data dan capaian internet pelajar.

“Fakulti dan Bahagian Pengurusan Akademik juga akan merancang jadual pengkuliahan mengikut SOP yang ditetapkan seperti pematuhan penggunaan kapasiti ruang sebanyak 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Beliau berkata, bagi kaedah pelaksanaan peperiksaan akhir pula, ia akan dilaksanakan secara bersemuka atau secara dalam talian seperti amalan biasa atau penilaian akhir gantian individu seperti take-home-exam, open-book-exam dan reflection essay bergantung kepada kesesuaian program pengajian.

Katanya, USIM akan berusaha untuk memastikan penyampaian program pengajian secara dalam talian atau hibrid adalah berkesan dan mencapai kualiti program yang ditetapkan.

“Dalam masa sama memastikan aspek kebajikan pelajar diberi perhatian agar kesihatan fizikal dan mental pelajar sentiasa berada dalam tahap yang baik serta akan memantau secara berterusan dan menyediakan pelan tindakan bagi menangani isu-isu berbangkit,” katanya.

Dr Mohamed Ridza berkata, bagi pelajar yang berada di kolej-kolej kediaman, pusat perumahan pelajar (PRUPEL), pihaknya akan mengusahakan gelembung selamat kampus.

Beliau berkata, antaranya dengan mengehadkan kawalan keluar masuk pelajar dalam waktu yang ditetapkan agar dapat mengurangkan risiko jangkitan.

“Bilik Gerakan COVID-19 USIM turut beroperasi bagi menyelaras maklumat dan tindakan pencegahan dalam membendung penularan wabak berkenaan,” katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tujuh wira, tiga wirawati korban nahas helikopter TUDM

NAHAS dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertembung sebelum terhempas di Kompleks Sukan TLDM Lumut mengorbankan tujuh...

Lagi Artikel Berkaitan