28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tiada kecuaian semasa evakuasi baki rakyat Malaysia di Ukraine

Mesti Baca

KEMENTERIAN Luar hari ini menafikan berlaku kecuaian pihaknya sehingga diplomat Malaysia di Ukraine terpaksa bergegas meninggalkan Kyiv melalui jalan darat seperti dilaporkan beberapa media tempatan.

Sebaliknya kementerian itu berkata, misi evakuasi 11 rakyat Malaysia terdiri daripada dua diplomat, tujuh warganegara Malaysia dan dua tanggungannya serta seorang warga Singapura berjalan seperti yang dirancang.

Sehubungan itu, kementerian itu kesal dengan laporan beberapa media dengan tajuk-tajuk sensasi dan mengelirukan serta komen-komen di media sosial yang tidak berasas dan menyimpang daripada situasi sebenar berhubung pelaksanaan misi tersebut.

Sebelum ini beberapa media tempatan yang memetik laporan South China Morning Post (SCMP) yang mendakwa Kementerian Luar cuai membawa mereka keluar daripada Kyiv sehingga terpaksa menaiki empat kereta dan menempuh perjalanan sejauh 782 kilometer (Km) menuju Poland.

Berikut kenyataan penuh Kementerian Luar mengenai misi evakuasi baki 11 rakyat Malaysia yang berada di Kyiv susulan situasi yang semakin meruncing di negara itu ekoran konflik antara Ukraine dan Rusia.

Dua daripada empat kereta yang digunakan untuk membawa keluar 11 rakyat Malaysia dari Kyiv, Ukraine ke Poland. – Sumber: Wisma Putra

Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv telah berjaya melaksanakan misi evakuasi warganegara Malaysia dari Ukraine pada 26 Februari 2022.

Misi ini dilaksanakan dua pegawai kedutaan iaitu Kuasa Usaha Sementara Cik Fadhilah Daud dan Setiausaha Kedua, Encik Aminuddin Osman.

Selain daripada dua pegawai kedutaan, misi tersebut melibatkan tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan kepada dua warganegara Malaysia.

Mereka merupakan kumpulan terakhir yang dibawa keluar dari Ukraine. Kedutaan turut membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura dalam misi ini.

Kumpulan ini meninggalkan Kyiv melalui jalan darat pada petang 25 Februari dan memasuki Poland pada malam 26 Februari 2022. Ketibaan mereka di sempadan Poland dibantu dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

Kumpulan ini dijadual berlepas dari Warsaw ke Malaysia pada 28 Februari dengan penerbangan komersil.

Sebelum ini, 13 warganegara Malaysia telah meninggalkan Ukraine dalam tempoh 14-24 Februari atas nasihat Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv susulan kenyataan media Kementerian Luar Negeri pada 14 Februari 2022.

Kementerian Luar Negeri kesal dengan laporan beberapa media dengan tajuk-tajuk sensasi dan mengelirukan serta komen-komen di media sosial yang tidak berasas dan menyimpang daripada situasi sebenar berhubung pelaksanaan misi ini.

Kementerian ingin menjelaskan perkara-perkara berikut:

  • Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv, sepertimana kedutaan-kedutaan besar Malaysia yang lain, mempunyai Pelan Evakuasi yang sedia diaktifkan sekiranya perlu. Pelan Evakuasi sentiasa dikemas kini berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan semasa, termasuk opsyen-opsyen terbaik bagi pelaksanaannya.
    Keputusan pelaksanaan misi evakuasi dibuat berdasarkan laporan mutakhir
    daripada kedutaan Malaysia yang berkenaan.
  • Kementerian Luar Negeri senantiasa memantau perkembangan di Ukraine serta telah berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv sehingga ke peringkat komunikasi terus oleh YB Menteri Luar Negeri dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan tersebut. Perkembangan-perkembangan penting turut diangkat untuk makluman dan perhatian YAB Perdana Menteri dari semasa ke semasa.
  • Kerajaan telah membincangkan Pelan Evakuasi warganegara Malaysia dari Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Februari 2022. YB Menteri Luar Negeri telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai perkembangan di Ukraine, terutamanya status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara tersebut.
Baki rakyat Malaysia di Ukraine lega selepas berjaya tiba di sempadan Poland selepas menempuh perjalanan darah sejauh lebih 700km. – Sumber: Wisma Putra
  • Mengambil kira keadaan yang meruncing di lapangan dan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia, YAB Perdana Menteri telah
    membuat keputusan pada 24 Februari supaya Pelan Evakuasi warganegara
    Malaysia di Ukraine diaktifkan serta-merta.
  • Pergerakan misi evakuasi warganegara Malaysia dari Ukraine dan maklumat-maklumat sensitif seperti pelan evakuasi telah tidak didedahkan kepada umum demi menjaga keselamatan kesemua yang terlibat dalam misi tersebut. Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan misi berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.
  • Dakwaan-dakwaan seperti pegawai Kedutaan melarikan diri, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) evakuasi dan sebagainya, yang telah dimuatkan dalam laporan media dan media sosial adalah sama sekali tidak berasas.
  • Empat buah kereta, termasuk dua kenderaan Kedutaan telah digunakan dalam pelaksanaan misi evakuasi ini. Penggunaan kenderaan kecil dan bukannya bas, telah mengambil kira bilangan yang terlibat dalam misi ini dan juga bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan.
  • Setakat ini, hanya beberapa kedutaan asing sahaja yang telah menggantung operasi di Kyiv atau memindahkan operasi mereka ke bandar lain di Ukraine. Operasi Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv terpaksa digantung sementara ekoran dua pegawai Kedutaan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan misi evakuasi ini.

Kerajaan Malaysia sebelum ini telah melaksanakan misi-misi evakuasi warganegara Malaysia dari negara-negara asing, sama ada negara yang berdepan konflik atau bencana alam.

Misi evakuasi atau repatriasi juga telah dilaksanakan bagi membawa pulang atau memudahcara kepulangan rakyat Malaysia dari 99 buah negara semasa pandemik COVID-19.

Misi-misi seumpana ini dilaksanakan oleh perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia dengan penyelarasan dan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta kementerian/agensi berkaitan di Malaysia.

Kementerian Luar Negeri mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam mernjayakan misi evakuasi dari Ukraine, terutamanya Cik Fadhilah Daud dan Encik Aminuddin Osman di Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv, serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

Kementerian seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan misi tersebut. Ini jelas menggambarkan semangat solidarti serta keperihatinan Keluarga Malaysia. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan